BENARKAN PENGUNDI SABAH DI SARAWAK DAN SEMENANJUNG MALAYSIA UNTUK MENGUNDI POS

BENARKAN PENGUNDI SABAH DI SARAWAK DAN SEMENANJUNG MALAYSIA UNTUK MENGUNDI POS

0 have signed. Let’s get to 7,500!
At 7,500 signatures, this petition is more likely to get a reaction from the decision maker!
Beverly Joeman started this petition to Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia and

Kepada Dato’ Awang Sahari yang dihormati,

Kami rakyat negeri Sabah memohon Dato dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lain untuk membenarkan semua pengundi Sabah di luar negeri Sabah, yakni di Semenanjung dan Sarawak, untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN Sabah) yang akan datang ini.

Sejak 2012, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diketuai YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (Ahli bagi Kawasan Kota Marudu) telahpun mencadangkan sebagai Syor ketiganya di bawah tajuk “Pengundi luar Kawasan” supaya “SPR menyediakan kemudahan kepada pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya terutama daripada Sabah dan Sarawak serta pengundi dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya.” (https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/jkuasa/DR_%201%20TAHUN%202012a.pdf ms 59)

Peraturan 3(1)(e) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 yang berbunyi “seorang anggota mana-mana kategori orang yang ditetapkan sebagai pengundi pos oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam Warta, adalah, apabila diterimanya suatu kertas undi pos, berhak untuk mengundi sebagai pengundi pos pada sesuatu pilihan raya mengikut Peraturan-Peraturan ini.”

“…memberikan kuasa sepenuhnya SPR untuk memberikan kami anak Sabah hak pengundian pos, sepertimana yang telah diberikan dalam PRU14 kepada seramai 51,472 petugas di pasukan Bomba, Jabatan Imigresen, hospital dan klinik, Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan penjara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)”. https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/05/06/over-200000-malaysians-eligible-for-postal-voting-in-ge14

Kami memohon SPR mempertimbangkan LIMA hujah ini:

1. Wabak COVID-19 menambahkan beban anak perantau Sabah yang ingin melaksanakan kewajiban mengundi daripada tiga segi: kesempitan pendapatan, kenaikan kos pengangkutan dan bahaya kesihatan dengan perjalanan jauh di kapal terbang dan pengangkutan awam yang lain. Risiko terpaksa dikuarantinkan selama 14 hari sekiranya penumpang kapal terbang lain yang terjangkit akan mencegah ramai anak Sabah daripada kembali untuk mengundi.

2. Hak mengundi adalah hak anak Sabah sebagai warga Malaysia yang membolehkan kami untuk menentukan nasib kami negeri sendiri dan juga seluruh negara. Kecacatan untuk anak Sabah dalam melaksanakan hak mengundi ini bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang menjanjikan sebuah persekutuan yang demokratik.

3. Kebanyakan anak-anak Sabah terpaksa meninggalkan negeri dan kampung negeri kerana pembangunan di Sabah amat ketinggalan berbanding dengan negeri lain sehingga peluang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan lain amat kekurangan.

4. Selama ini sekalipun tanpa wabak, kesulitan dan kos untuk kembali ke Sabah untuk membuang undi telah memaksa ramai anak Sabah, terutama mereka yang kesempitan wang atau kegagalan untuk memohon cuti, untuk tidak balik mengundi dan melepaskan hak demokratik untuk bersama-sama menentukan masa depan tanahair. Ini seolah-olah membahagikan rakyat Sabah dalam dua darjat, yang berkeupayaan mengundi dan yang tidak.

5. Kegagalan untuk mengatasi halangan untuk perantau anak Sabah dan Sarawak mengundi seperti kebanyakan anak Semenanjung adalah penganaktirian dan pengabaian Putrajaya terhadap kebajikan anak-anak Sabah yang bersifat struktur sejak 1963. Rendahnya Sabah dalam keutamaan SPR sebelum ini nyata sekali apabila warga Malaysia yang boleh menikmati hak pengundian secara pos sekalipun dipisahkan lautan besar sedangkan Laut China Selatan menjadi penghalang untuk anak-anak Sabah.

Kami yakin permintaan kami ini turut dikongsi oleh semua parti-parti politik Sabah yang sudah tentu ingin melihat penyertaan maksima anak Sabah dan kadar mengundi tinggi dalam PRN Sabah yang akan datang. YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili serta rakan-rakan dalam Jawatankuasanya juga akan berharap syor mereka pada tahun 2012 dilaksanakan oleh SPR pada tahun 2020.

Kami menaruh harapan besar bahawa Dato’ dan rakan-rakan SPR yang lain akan membuka sejarah baru di mana penjalanan PRN2020 Sabah ini bukan sahaja satu kejayaan di sisi operasi ketika berlaku wabak COVID-19, tetapi juga permulaan agar semua anak perantau Sabah, Sarawak dan Semenanjung boleh mengundi tanpa perjalanan jauh, selari dengan wawasan sebuah Persekutuan yang samarata dan inklusif dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sekian, terima kasih.

Beverly Joeman, Anak Sabah di Semenanjung Malaysia

0 have signed. Let’s get to 7,500!
At 7,500 signatures, this petition is more likely to get a reaction from the decision maker!