Pertahan & Daulat Aturan Adat Rembau Dalam Pemilihan Dato’ Undang Luak Rembau ke-22

This petition had 340 supporters

The Issue

Tujuan Petisyen

Petisyen ini adalah usaha terakhir kami kerana Dato’ Perba telah mengabaikan tiga surat bantahan rasmi yang dihantar oleh Buapak Kampung Tanjung. Surat-surat tersebut, yang juga disalinkan kepada Orang Besar Undang dan Lembaga Tiang Balai Undang, langsung tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Lebih mengecewakan lagi, permohonan Buapak Tanjung untuk berjumpa dan berbincang secara langsung dengan Dato’ Perba tidak diendahkan sama sekali.

Kami dari Kampung Tanjung amat menghargai tradisi dan adat yang telah lama terjalin di antara komuniti kami dengan pihak Dato’ Perba. Namun, dalam keadaan ini, kami merasa terpinggir dan tidak didengar. Sebagai langkah terakhir untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan kami, petisyen ini dibuat dengan penuh harapan agar isu-isu yang kami hadapi dapat ditangani dengan adil dan saksama.

Keperluan untuk Petisyen ini Timbul Kerana:

1. Ketelusan dan Keadilan
Kami berharap agar isu-isu yang dibangkitkan dapat dibincangkan secara terbuka dan adil. Setiap keputusan yang dibuat haruslah berasaskan kepada kepentingan bersama dan bukannya kepentingan individu atau kelompok tertentu.

2. Menghormati Suara Komuniti
Warga kampung mempunyai hak untuk bersuara dan hak tersebut harus diberikan perhatian yang sewajarnya.

3. Memelihara Tradisi dan Adat
Kami ingin memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah selari dengan tradisi dan adat yang telah lama menjadi pegangan komuniti kami. Keharmonian dan perpaduan kampung haruslah dikekalkan.

4. Penyelesaian Konflik secara Harmoni
Kami berharap agar segala konflik dan isu dapat diselesaikan secara aman dan harmonis melalui dialog dan perbincangan yang konstruktif.

Dengan petisyen ini, kami menyeru kepada pihak Dato’ Perba dan semua pihak yang berkaitan untuk mendengar suara kami dan mengambil tindakan yang wajar demi kepentingan bersama. Kami percaya bahawa dengan kerjasama dan saling memahami, setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik. Kami dengan penuh hormat memohon agar petisyen ini diberikan perhatian yang sewajarnya dan segala kebimbangan kami dapat diselesaikan demi kebaikan bersama.

Kami yang bertandatangan di bawah ini, menyuarakan kebimbangan yang serius terhadap tindakan Dato' Perba yang melanggar tradisi Rembau dan merosakkan integriti proses pemilihan Dato' Undang Luak Rembau ke-22. Berikut adalah kesalahan-kesalahan terperinci yang dilakukan oleh Dato' Perba:

 

1. Pengisytiharan Kampung Pulau Sebagai Kampung/Lubuk Benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22 yang Tidak Sah

a) Melampaui dan Mencemarkan Tradisi Rembau: Pada 4 Julai 2024, semasa istiadat Kerapatan Lembaga di Balai YTM Undang Rembau, Dato' Perba secara tidak sah mengisytiharkan Kampung Pulau sebagai kampung/lubuk benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22, melanggar tradisi yang telah lama diamalkan.

b) Mengabaikan Keputusan Istiadat Kerapatan: Dato' Perba secara unilateral mengabaikan keputusan dua istiadat kerapatan oleh Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak yang telah memilih Kampung Tanjung sebagai kampung/lubuk benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22.

 

2. Pengenalan Tatacara Pemilihan Benih Undang yang Meragukan

a) Kekurangan Ketelusan: Dokumen tatacara pemilihan baharu telah disediakan tanpa sebarang perbincangan dengan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak dan Ibu Soko Biduanda Waris Nan Dua Carak, menyebabkan kekurangan ketelusan dan menimbulkan keraguan di kalangan pihak berkepentingan.

b) Ketiadaan Cop Mohor dan Tandatangan Rasmi: Dokumen tersebut diumumkan tanpa cop mohor rasmi YTM Almarhum Dato' Undang Rembau ke-21, dan terdapat ketidakselarian tandatangan Almarhum pada setiap halaman dokumen.

c) Ketidaktepatan dan Ketiadaan Kelulusan: Terdapat kesilapan dalam susun atur dan kedudukan senioriti kampung dalam dokumen tersebut serta ketiadaan kelulusan daripada Dewan Keadilan dan Undang (DKU). Tambahan pula, laporan polis oleh Buapak Kampung Tanjung menambah lagi keraguan terhadap kesahihan dokumen ini.

d) Percanggahan Kepentingan: Dato' Perba melantik diri sendiri sebagai pengerusi jawatankuasa pemilihan dan melibatkan individu-individu tertentu yang rapat dengannya, bertentangan dengan tatacara pemilihan lama yang melarang tiga jawatan utama termasuk jawatan Dato' Perba daripada terlibat dalam pemilihan bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.

e) Ketiadaan Tarikh: Tiada tarikh pada dokumen tatacara pemilihan baharu ini, termasuk pada semua tandatangan, yang menambah lagi keraguan terhadap kesahihan dokumen.

f) Ketiadaan Tandatangan pada Struktur Organisasi dan Lampiran: Dokumen tersebut kekurangan tandatangan pada struktur organisasi pentadbiran serta beberapa halaman dan lampiran, menimbulkan persoalan mengenai integriti dokumen tersebut.

 

3. Menunjukkan Sikap Memihak

a) Memihak kepada Kampung Pulau: Semasa sesi pra-taklimat istiadat kerapatan, Dato' Perba jelas menunjukkan sikap memihak dengan meminta Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak memastikan kemenangan Kampung Pulau dalam pemilihan kampung/lubuk benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22.

 

4. Mengabaikan Keputusan Kerapatan

a) Menangguhkan Pengumuman Keputusan: Dato' Perba menangguhkan pengumuman keputusan istiadat kerapatan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak tanpa sebarang justifikasi yang sah mengikut tradisi Rembau.

b) Membatalkan Keputusan Istiadat Kerapatan: Dato' Perba membatalkan keputusan dua istiadat kerapatan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak yang telah memilih Kampung Tanjung sebagai kampung/lubuk benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22.

c) Gagal Memaklumkan Keputusan kepada Majlis dan Pegawai Daerah: Dato' Perba gagal memaklumkan keputusan kerapatan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak kepada majlis dan Pegawai Daerah seperti yang diperuntukkan dalam tatacara pemilihan baharu.

d) Membuat Pemilihan Sendiri: Dato' Perba membuat pemilihan sendiri bersama ahli jawatankuasa tanpa berbincang dengan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak, melanggar tradisi dan tatacara pemilihan baharu.

 

5. Pelanggaran Tatacara Pemilihan Lubuk Benih Baharu

a) Memilih Kampung Pulau yang Kalah dalam Undian Sulit: Dato' Perba memilih Kampung Pulau sebagai kampung/lubuk benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22 walaupun Kampung Pulau kalah dalam dua undian sulit istiadat kerapatan.

b) Menyalahgunakan Tradisi Rembau: Dato' Perba menyalahgunakan tradisi Rembau dan tidak mengikut keputusan istiadat kerapatan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak, menunjukkan ketidakpatuhan terhadap tradisi yang dihormati.

 

6. Tidak Menghormati Pandangan dan Hak Kampung Tanjung

a) Mengabaikan Surat Bantahan: Dato' Perba mengabaikan surat-surat bantahan dan permohonan perbincangan dari Kampung Tanjung, menunjukkan sikap autokratik yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan musyawarah yang dipegang oleh tradisi dan hukum Syarak.

b) Menyebabkan Kegelisahan dan Ketidakpuasan Hati: Tindakan Dato' Perba menyebabkan kegelisahan, kegusaran, dan ketidakpuasan hati dalam kalangan warga Kampung Tanjung dan komuniti Luak Rembau secara keseluruhan.

 

7. Ketidakhormatan Kepada Aturan Adat Rembau oleh Dato’ Perba Perlu Dihentikan

a) Mengabaikan Tradisi Rembau: Dato' Perba mengetepikan peranan penting Ibu Soko dan Buapak Delapan, menyebabkan kerosakan total dalam ekosistem pemilihan Dato' Undang Luak Rembau ke-22 dari awal lagi.

b) Mengabaikan Perlembagaan Tradisi: Dato' Perba secara terang-terangan mengabaikan perlembagaan tradisi, menggunakan kuasa tanpa malu dengan menolak keputusan Buapak Delapan Kampung yang sepatutnya mengisytiharkan Kampung Tanjung sebagai kampung/lubuk benih Dato' Undang ke-22.

c) Mempengaruhi Tiang Balai: Dato' Perba mempengaruhi Tiang Balai untuk menyetujui keputusannya, menunjukkan agenda tersembunyi. Ini menunjukkan beliau melampaui batas sebagai ahli lembaga 12 dan bukan sebagai Tiang Balai.

d) Mengadakan Sesi Temuduga yang Tidak Wujud: Sesi temuduga untuk pemilihan calon Dato' Undang ke-22 yang diadakan oleh Dato' Perba tidak pernah wujud dalam tradisi Rembau, menunjukkan ketidakpatuhan terhadap aturan adat.

e) Hak Menentukan Pesaka Gelaran: Semua gelaran pesaka seharusnya ditentukan oleh kebulatan ahli suku masing-masing, bukan oleh lembaga.

f) Tiada Kuasa Lembaga: Lembaga tidak mempunyai kuasa menentukan gelaran pesaka Dato' Undang. Gelaran pesaka dimiliki oleh Ibu Soko, dan lelaki hanya menyandang tanpa kuasa.

g) Tidak Menghormati Martabat Bakal YTM Dato' Undang: Meminta calon mengisi borang dan menghadiri sesi temuduga telah menghina martabat bakal YTM Dato' Undang Luak Rembau. Gelaran Yang Teramat Mulia tidak sepatutnya memerlukan prosedur ini.

h) Penambah Baik Pulih Adat: Semua penambah baik pulih aturan adat mesti mendapat persetujuan Ibu Soko dan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak. Tanpa persetujuan mereka, segala keputusan yang dibuat adalah tidak sah.

 

8. Tiada tanggungjawab dalam memelihara keselamatan ahli istiadat kerapatan Lembaga pada 4 Julai 2024

Pada 4 Julai 2024, semasa kerapatan Lembaga, Dato Perba telah mewujudkan suasana yang tidak selamat dan mengancam keselamatan para Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak, dengan insiden tumbukan oleh Orang Besar Undang (OBU) iaitu YM Dato' Raja Diraja terhadap Buapak Kg Kota, YM Dato' Samaraja di dalam kawasan Balai YTM Undang sebagai bukti kegagalan Dato Perba. Kedudukan para YM Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak yang ditempatkan di barisan belakang dan tidak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan atau bantahan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak memperlihatkan kurangnya penghormatan dan perlindungan terhadap Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak. Situasi ini menjejaskan keharmonian kerapatan Lembaga dan mencerminkan kelemahan kepimpinan Dato Perba, menekankan kepentingan untuk memastikan semua Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak diberikan penghormatan, perlindungan, dan peluang untuk bersuara tanpa rasa takut atau ancaman.

 

Penutup

Dengan ini, kami menyeru kepada semua pihak yang berkenaan untuk menyiasat dengan teliti dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses pemilihan Dato' Undang Luak Rembau ke-22 dijalankan dengan telus, adil, dan berlandaskan aturan adat yang sebenar dan mengembalikan hak Kampung Tanjung yang dirampas dan dinafikan. Pihak yang berwajib hendaklah mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan lubuk benih bagi Dato' Undang Luak Rembau ke-22 ke atas Kampung Pulau dibatalkan atas kekhilafan mematuhi aturan adat Rembau dan tatacara proses pemilihan pesaka Dato' Undang Luak Rembau ke-22 seterusnya mengisytiharkan Kampung Tanjong sebagai lubuk benih Dato' Undang Luak Rembau ke-22 berdasarkan keputusan dalam 2 istiadat kerapatan Buapak Delapan Kampung Biduanda Waris Nan Dua Carak.

Petition Updates