"HIJAB HAK ASASI WANITA, BARAT ATAU ISLAM YANG MEMBELA WANITA?"

"HIJAB HAK ASASI WANITA, BARAT ATAU ISLAM YANG MEMBELA WANITA?"

0 have signed. Let’s get to 100!
At 100 signatures, this petition is more likely to be featured in recommendations!
Suara Wanita started this petition to Masyarakat Dunia

Kita semua harus sedar bahawa Islam adalah agama yang paling ke depan dalam memelihara hak, maruah dan kehormatan wanita. Konsep Hijab yang ditekankan Islam adalah demi memelihara maruah wanita dan keharmonian kestabilan institusi keluarga.

Islam menolak fahaman yang melihat wanita sebagai golongan kelas kedua yang boleh disuruh diarah sesuka hati. Semua peraturan Islam mendatangkan kebaikan buat semua khususnya kaum wanita.

Islam mengecam keras apa jua persepsi dan sikap buruk terhadap wanita. Islam menolak fahaman yang menganggap wanita itu sebagai objek, yang digunakan untuk memuaskan nafsu lelaki semata-mata dan Islam menolak tegas pandangan jahiliah Barat yang menilai dan menghargai wanita hanya berdasarkan rupa fizikal. Sebaliknya Islam menekankan bahawa sebagaimana kaum lelaki, kaum wanita haruslah dinilai bukan berdasarkan paras rupa fizikal yang tidak kekal itu, tetapi harus dinilai berdasarkan keimanan mereka, kebijaksanaan mereka, serta moral mereka.

Barat adalah pihak yang paling ke depan dalam menginjak-injak maruah kaum wanita. Antara buktinya:

1) Dalam dunia Barat, tidak kira dunia pekerjaan atau hiburan, wanita sentiasa ditekan dari segenap penjuru agar berpakaian tidak senonoh, mempamerkan bentuk tubuh mereka, berhias serta bersolek sentiasa di luar rumah semata-mata demi memenuhi kehendak nafsu kaum lelaki. Bagi mereka, lebih sedikit pakaian yang menutupi tubuh wanita maka lebih bagus, sedangkan kaum lelaki tidak pula ditekan sedemikian rupa. Lelaki dibenarkan memakai kot, berseluar panjang ketika menghadiri mesyuarat, tetapi wanita pula harus berpakaian ketat, berskirt pendek sekaligus setiap masa menjadi bahan tontonan mata keranjang lelaki yang korup. Seolah wanita itu tiada tugasan lain kecuali menjadi bahan santapan nafsu lelaki. Lihat, betapa hina dan rendahnya nilai wanita di dunia Barat.

2) Movie-movie mereka, iklan-iklan mereka, 99% mempergunakan wanita sebagai objek tarikan dengan aksi dan pakaian tidak senonoh. Permainan komputer mereka pula sentiasa penuh dengan karakter-karakter wanita yang mendedahkan bahagian tubuh mereka. Begitu rendah sekali maruah wanita di pandangan mereka. Jelaslah bahawa Barat hanya mahu wanita dilihat sebagai bahan nafsu semata-mata, sekaligus mengabaikan dan merosakkan nilai intelektual, nilai moral, nilai kemanusiaan dan nilai spiritual wanita kurniaan Allah SWT.

3) Barat memberikan persepsi bahawa wanita itu hanya layak dihargai dan mendapat perhatian jika dia memiliki rupa paras yang cantik sahaja. Ini menyebabkan wanita sentiasa merasa rendah diri, merasa diri tidak bernilai, dan terpengaruh dengan tekanan media utk bersolek, berdandan, berhias serta mempamerkan tubuh mereka sebanyak yang boleh di khayalak ramai demi mendapat penghormatan dan penghargaan khususnya di tempat kerja yang majoritinya terdiri daripada lelaki yang rosak moralnya. Seolah-olah wanita itu tidak ada langsung bakat dalam bidang yang mulia seperti bidang agama, ilmu, intelek, spiritual, sains dan lain-lain. Wanita akhirnya asyik dengan kesibukan mencantikkan paras fizikal dan mengejar perhatian dan pernghargaan lelaki sekaligus lupa bahawa hakikat dirinya tidaklah serendah, semurah dan sehina itu. Apa guna mengejar perhatian dan penghargaan manusia jika harga diri tergadai, dilihat sebagai objek kepuasan nafsu semata-mata. Apa guna mendapat penghormatan makhluk yang korup sedangkan nilai penghormatan sebenar datang daripada Dia yang menciptakan segala makhluk.

4) Barat menindas kaum wanita atas nama "freedom", kebebasan, hak asasi manusia, kemodenan, dan lain-lain di mana mereka tidak henti-henti memancing wanita dengan pekerjaan tidak bermoral dan mendedahkan mereka dengan persekitaran tidak selamat. Barat sentiasa memancing wanita dengan jaminan kekayaan agar mereka menyertai industri jijik seperti pelacuran, pornografi, tempat hiburan, disko dan lain-lain. Sekaligus menjadikan wanita sekali lagi dilihat sebagai objek yang sesuka hati boleh dipakai buang demi keseronokan dan kepuasan manusia jijik semata-mata..

5. Barat sentiasa menampilkan wanita dengan imej tidak sopan. Movie-movie mereka, iklan-iklan mereka, game-game mereka menembus masuk ke dalam negara dan masyarakat ini tanpa hentinya. Ini benar-benar merosakkan akhlak kita sebagai manusia. Ini adalah agenda syaitani, agenda musuh Islam untuk merosakkan kaum wanita, kaum lelaki, institusi keluarga, masyarakat seluruhnya.

Mereka mahu membiasakan kita dengan pandangan tidak senonoh ini sehingga kita hilang sensitif terhadap isu kesopanan dan menganggap imej tidak sopan yang ditonjolkan Barat bagi kaum wanita itu adalah satu perkara yang biasa dan harus diterima dan dibiarkan.. 

sedangkan.. tanpa kesopanan, tanpa Hijab.. KEADILAN TIDAK AKAN DAPAT DICAPAI.. Kerana tanpa nilai kesopanan, jenayah dan perbuatan tidak bermoral berleluasa tanpa henti, wanita akan terus ditindas dan dihina serta dieksploitasi demi menjana keuntungan wang ringgit hasil nafsu serakah manusia syaitani. Wanita terus dijual  beli dalam industri pengiklanan, hiburan, pelacuran dan pornografi. Wanita terus menjadi sasaran bagi melariskan industri kosmetik berbillion ringgit sekaligus menjadikan wanita terus mundur tenggelam dalam dunia materialistik..

Islam menentang segala perlakuan jijik Barat yang menjatuh habis martabat mulia dan peranan sebenar kaum wanita..

1) Islam menyeru agar kaum wanita berpakaian sopan dan tidak mempamerkan paras fizikal mahupun kecantikan mereka di khayalak ramai. Sedarlah bahawa perbuatan mempamerkan diri dalam bentuk solekan, pakaian, perhiasan di khayalak ramai adalah perbuatan jahiliah kaum wanita di zaman Rasulullah saw. Perbuatan ini jelas hanya merugikan kaum wanita sahaja dan merendahkan martabat diri mereka. Dengan perbuatan ini, nilai wanita dilihat begitu rendah dan murah sekali.

2) Islam melarang sebarang aktiviti atau pekerjaan yang berisiko menjatuhkan maruah dan akhlak wanita termasuklah tarian, nyanyian, pelacuran, pornografi dan lain-lain

3) Islam melarang apa jua movie, game, iklan yang mempamerkan wanita dengan pakaian dan aksi tidak senonoh. Malangnya filem Melayu sendiri banyak mempamerkan wanita dengan pakaian ketat dan aksi tidak sopan. Inilah akibatnya apabila terpengaruh dengan Barat dan jauh daripada ajaran Islam. 

4) Islam sentiasa mahu melindungi emosi, psikologi, fizikal dan spiritual wanita dan tidak mahu wanita didedahkan dengan tugasan dan pekerjaan luar yang berat lagi melelahkan, kerana ia menjejaskan kestabilan dan ketenangan emosi dan psikologi wanita. Kerana itu wanita dikecualikan daripada berjihad di medan perang, wanita dikecualikan daripada kewajiban bekerja demi mencari nafkah dan Islam juga tidak menggalakkan wanita daripada terlibat dalam tugasan-tugasan rumit seperti menjadi hakim, berhadapan dengan kes jenayah, kes pembunuhan dan lain-lain. Ini semua demi memastikan wanita tidak berdepan dengan apa jua tekanan yang merampas ketenangan emosi dan psikologi wanita yang mana aspek ini sangat kritikal untuk dijaga bagi membolehkan wanita melaksanakan tugas utamanya yang jauh lebih penting, lebih utama, kerana ia hanya boleh dilakukan oleh wanita sahaja.

5) Islam mengiktiraf bahawa peranan wanita di rumah sama ada sebagai isteri yang memberi ketenangan dan sokong moral spiritual kepada suaminya mahupun sebagai ibu, yang menyebar kasih sayang dan ketenangan kepada seluruh ahli keluarganya, sebagai peranan wanita YANG PALING UTAMA yang mana tiada lelaki yang mampu mengambil alih peranan ini. Wanita berperanan besar dalam memberikan ketenangan emosi, ketenangan spiritual, dan ketenangan psikologi kepada semua ahli keluarga melalui sifat keibuannya, sifat lembut dan kasih sayangnya yang memang semulajadi dicipta Allah dalam diri setiap wanita. Dengan kebolehan istimewa ini, wanita berperanan besar dalam membentuk keluarga yang bahagia dan tenteram, mendidik moral ahli keluarga terutama anak-anaknya agar terdidik menjadi insan yang soleh solehah, yang mampu menyebar kebaikan di muka bumi dan menentang kerosakan.

6) Islam tidak menjadikan pekerjaan rumah seperti memasak, mencuci, mengemas sebagai tugas wajib kaum wanita. Bahkan menyusu pun bukan tugas wajib wanita. Adalah satu kezaliman jika mana-mana lelaki mengarah-arah atau memaksa wanita melakukan pekerjaan tersebut. Lelaki tidak berhak mengarahkan wanita bahkan dengan menyuruhnya membawa segelas air. Islam menyatakan jika wanita melakukan pekerjaan rumah, dia layak mendapat bayaran atas penat lelahnya menguruskan rumah dan anak-anaknya. Semua ini adalah supaya kaum wanita sentiasa dihormati dan tidak dilayan sebagai hamba abdi yang diarah-arah. Hanya lelaki jahiliah sahaja yang sesuka hati mengarah-arah wanita dan melayannya sebagai golongan kelas kedua. Lelaki yang jahil terhadap hak dan peranan wanita, mereka inilah yang berisiko tinggi melakukan penderaan emosi, fizikal mental dan keganasan terhadap wanita dalam alam perkahwinan. Lelaki jahiliah di zaman Rasulullah saw bahkan menguburkan anak perempuan mereka hidup-hidup kerana mereka percaya wanita ini hanya membawa sial dan malu. Begitulah persepsi jahil lelaki zaman itu. Alhamdulillah Islam datang menolak segala kepercayaan tahyul tersebut. Malangnya masih ada ramai lelaki jahiliah yang terbawa-bawa perangai lelaki Arab jahiliah pada hari ini.

Wanita secara semula jadinya suka mengemas, melayan anak-anak dan mengurus pekerjaan rumah tangga. Namun, jika dia berhadapan dengan tekanan, dihina dalam rumahnya sendiri, tidak dihargai pengorbanan dan penat lelahnya, maka wajar sahaja wanita itu berhenti melakukan tugasan-tugasan ini dan biarkan suami merasakan sendiri penat lelah menguruskan rumah dan anak-anak. Sabda Rasulullah SAW, "Hanya lelaki hina yang menghina wanita, dan hanya lelaki mulia yang memuliakan wanita."

Anak-anak lelaki harus dididik agar turut mahir mengurus tugasan rumah dan tidak sesekali menganggap tugasan rumah adalah tugasan wanita. Mereka juga harus diajar agar sentiasa menghargai jika wanita melakukannya dengan sukarela atas dasar kasih sayang. 

7) Islam menyatakan bahawa salah satu hak wanita sebagai isteri adalah suami harus melayannya dengan kelembutan, penuh kasih sayang, penghormatan, dan penghargaan. Suami yang berkelakuan dingin dan kasar terhadap isteri adalah jelas bersikap bertentangan dengan seruan Islam dan al-Quran. Suami harus sentiasa berusaha menjaga perasaan isteri dan tidak memaksa isteri melakukan perkara di luar kemampuannya. Suami harus memastikan keselamatan fizikal, emosi, mental dan spiritual isterinya agar dia sentiasa merasa tenang dan selamat. Suami juga wajib memenuhi keperluan isteri seperti pakaian yang menutup aurat, tempat tinggal yang selamat, makanan yang sihat dan mencukupi, perubatan dan lain-lain. Dan kewajiban ini wajib ditunaikan oleh suami walaupun isteri itu ada pendapatan sendiri. Pendapatan isteri tidak boleh digunakan kecuali atas keizinannya. Betapa Islam sangat menghormati dan menghargai wanita. Di zaman jahiliah, wanita tidak dibenar langsung mendapat harta pusaka, manakala wang mahar miliknya harus diserahkan kepada ayah atau saudara lelakinya.. Begitulah contoh budaya jahiliah yang melihat wanita tidak layak mengurus hartanya sendiri. Bahkan bagi mereka wanita itu boleh dijual beli sesuka hati .

8) Islam menugaskan kaum lelaki agar membela nasib dan melindungi kaum wanita, menjaga kehormatannya, melindungi mereka daripada apa jua bahaya sama ada bahaya fizikal, bahaya moral, bahaya spiritual dan lain-lain. Lelaki sejati adalah lelaki yang sedar dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan Allah ini. Mana-mana lelaki yang mengambil kesempatan ke atas wanita yang naif dan tidak berdaya, menzalimi wanita dari apa jua aspek emosi, fizikal, mental, spiritualnya, maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat seksaan Api Neraka. Banyak ayat Quran mengingatkan lelaki agar takutlah kepada Allah berkenaan dengan layanan mereka terhadap kaum wanita terutama dalam hal-ehwal rumah tangga.

9) Islam mengiktiraf bahawa pekerjaan paling mulia dan dibanggakan bagi kaum wanita adalah; peranannya sebagai isteri atau ibu dalam keluarga. Lelaki tidak akan mampu berkhidmat dalam masyarakat tanpa isteri yang sentiasa memberi sokongan moral, dan spiritual kepadanya. Wanita yang berhempas pulas mengurus rumah, memastikan keselamatan moral dan spiritual ahli rumah, menjaga, mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan ilmu, akhlak dan keimanan, menyebar kasih sayang dan ketenangan kepada seluruh ahli keluarganya, inilah pekerjaaan paling mulia, paling agung bagi seorang wanita dan tiada siapa boleh mengambil alih peranan maha pentingnya ini.

Islam tidak pernah sesekali memandang hina golongan wanita yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa. Bahkan Islam sangat sedar bahawa kehadiran dan peranan wanita di rumah dalam mengurus keselamatan moral dalam rumah, menyebarkan kasih sayang , ketenangan, memberikan didikan keimanan di rumah adalah jauh lebih penting dan kritikal berbanding bekerja di luar rumah. Anak-anak yang terbiar akibat ibunya sering bekerja di luar rumah, akan terjejas pembangunan emosi mental dan spiritual mereka dan anak-anak ini sangat mudah terdedah kepada bahaya keruntuhan moral sama ada yang berpunca daripada sumber di dalam mahupun di luar rumah akibat tiada pengawasan yang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa.

Wanita yang kepenatan akibat bekerja di luar rumah akan mengalami kesukaran untuk memainkan peranan utamanya di rumah yaitu menyebar ketenangan dan kasih sayang di dalam rumah. Wanita tersebut juga tidak mampu mengurus konflik rumah dengan baik akibat kepenatan. Lebih-lebih lagi jika mendapat suami yang tidak memahami akan tekanan dan kesibukan yang dihadapinya. Akibatnya hubungan perkahwinan mudah retak, anak-anak ketandusan kasih sayang, dan didikan iman, tiada tempat untuk mengadu dan rumah menjadi bosan dan hambar bahkan menjadi seperti neraka akibat tiada ketenangan tiada kasih sayang.

Jelaslah bahawa peranan dan pekerjaan wanita sebagai permaisuri rumah tangga ini adalah sangat mulia dan sangat penting, namun Barat memandang rendah semua ini dan menganggap wanita yang hanya duduk di rumah sebagai mundur dan terkebelakang sedangkan wanita yang bekerja di luar dengan solekan dan pakaian menjolok mata sebagai wanita moden yang bagus dicontohi.  Dan akibatnya, hasil pandangan Barat yang sangat menyimpang ini, kita boleh lihat betapa keluarga-keluarga di Barat banyak yang porak peranda, banyak perceraian, banyak main kayu tiga, dan anak-anak mereka terbiar, mengalami pelbagai masalah mental, terlibat dalam perkara merosakkan seperti dadah, gangsterisme, hiv, pelacuran dan lain-lain.. 

Barat walaupun canggih dengan sains dan teknologi, tetapi masih tidak dapat menyelesaikan masalah kejatuhan moral yang melanda seluruh masyarakatnya. Masyarakat Barat tidak mengenal cinta sejati, tidak mengenal arti moraliti, tidak mengenal arti kesetiaan, gara-gara hidup mereka penuh kebebasan tanpa batas. Perzinaan menjadi satu perkara biasa bagi mereka yang mana hari ini malangnya dicontohi oleh sebahagian masyarakat kita..

10. Islam sangat menekankan kepentingan agar wanita mendapat pendidikan yang secukupnya terutama pendidikan agama kerana Islam melihat setiap wanita itu sebagai ibu kepada masyarakat yang berperanan besar mengasuh generasi akan datang ke arah kejayaan melalui ilmu yang benar, akhlak yang mulia dan ketaatan kepada Allah SWT. Tanpa wanita yang berilmu dan bertaqwa, masyarakat akan diselubungi kerosakan moral, keluarga akan bercerai-berai dan anak-anak akan menjadi jahil dan rosak. Jika wanita terus dipisahkan daripada keluarga dengan disibukkan dengan pekerjaan-pekerjaan luar, maka akibatnya masalah keluarga akan terus menjadi-jadi, tiada kasih sayang dan ketenangan, anak-anak terabai dan pembentukan emosi, psikologi dan spiritual mereka akan terjejas. Nah, kerana itulah wanita harus mendapat pendidikan yang secukupnya bagi membina kematangan fikiran, kematangan iman, sekaligus membolehkan wanita menunaikan tugas dan peranan utama mereka dalam rumah, keluarga dan masyarakat..

11. Islam mengiktiraf peranan besar wanita dalam masyarakat. Islam tidak melarang wanita bekerja dalam bidang-bidang yang memerlukan kehadiran mereka asalkan tempat kerja tersebut menjamin keselamatan dan maruah kaum wanita. Islam menyeru wanita agar mengambil tahu hal-hal semasa, hal-hal politik, hal-hal rakyat marhaen dan berusaha mencegah apa jua kerosakan dalam masyarakat dan negara. Tanpa wanita pemberani yang melibatkan diri dalam gerakan reformasi dan gerakan perubahan ke arah kebaikan, maka gerakan tersebut pasti akan gagal dan akibatnya masyarakat dan negara akan terus mundur.

12. Mana-mana peraturan Islam mengenai wanita, semuanya adalah bertujuan demi memelihara keharmonian institusi keluarga dan masyarakat secara menyeluruh dan bukannya atas tujuan mahu mendiskriminasi wanita. Sebagai contoh, dalam soal pembahagian harta pusaka, lelaki mendapat 2x ganda lebih banyak daripada wanita. Adakah ini kerana Islam mendiskriminasi wanita..? Tidak. Tetapi kerana dalam Islam, lelakilah yang bertanggungjawab mencari nafkah demi menyara ibu bapa, isteri dan anak-anak. Maka kerana itu lelaki mendapat lebih harta pusaka.

Satu persoalan timbul. Tetapi bukankah zaman ini lelaki dan wanita kedua-duanya bekerja..? Maka bukankah wajar peraturan Islam itu diubah..? Nah, kita harus ingat bahawa Islam itu mahu membentuk sebuah masyarakat yang ideal. Dan masyarakat ideal menurut Islam adalah di mana lelaki yang keluar bekerja mencari nafkah menyara keluarga manakala wanita diberikan kebebasan penuh untuk menjalankan peranan dan tugasan utamanya di rumah tanpa tekanan mencari nafkah. Maka, bukannya peraturan Islam yang perlu diubah, tetapi masyarakatlah yang harus berubah mengikut peraturan Islam dan berhentilah menekan wanita memaksanya untuk bekerja demi menyara kehidupan keluarga. Wanita hanya bekerja di luar jika betul-betul perlu dan atas kehendaknya sendiri. Wanita tidak wajar didedahkan dengan tekanan di luar kerana ia akan mengganggu gugat peranan utamanya sama ada di rumah mahupun di dalam masyarakat. 

TUJUAN PETISYEN :

Petisyen ini bertujuan agar semua pihak sedar betapa Islam sangat memuliakan wanita manakala Barat adalah pihak yang menghina dan merendahkan martabat wanita. Marilah kita sama-sama berusaha mengangkat martabat wanita dalam keluarga dan masyarakat kita, serta menghentikan apa jua amalan, budaya dan persepsi salah yang menghina dan menjatuhkan martabat wanita.

Hijab adalah salah satu bukti utama bagaimana Islam sangat prihatin dalam soal memelihara kehormatan wanita agar mereka sentiasa dipandang sebagai seorang insan yang setaraf dengan lelaki , sama sama memiliki nilai kemanusiaan dan nilai spiritual yang setara. Islam tidak mahu wanita dilihat dan dilayan sebagai golongan kelas kedua, mahupun sebagai objek yang tiada tujuan lain kecuali menjadi hamba kepada kerakusan nafsu pihak yang korup. Islam mahukan wanita membebaskan dirinya dari perhambaan jijik ini. Islam mahu wanita bebas daripada perhambaan kosmetik. Islam tidak mahu kaum wanita diseret ke lembah kegelapan dan kerosakan. Islam menolak keras apa jua bentuk penindasan dan kezaliman terhadap kaum wanita

Di sisi Tuhan, yang paling mulia adalah mereka yang paling taat kepada Allah, tidak kira lelaki atau wanita. Allah SWT mengingatkan kita mengenai hal asas ini dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud:

"Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kalian dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang PALING MULIA di antara kamu di sisi Allah ialah ORANG YANG PALING BERTAQWA. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti." (Surah al-Hujurat:13)

Salam ke atasmu, Pemimpin Wanita Syurga, Sayyidah Fatimah az-Zahra. Dikaulah sumber aspirasi bagi kaum wanita umat ini. Salam ke atas Ayahandamu, Pemimpin Rahmatal-lil-alamin, Nabi Muhammad saw, contoh terbaik dalam menghormati kaum wanita dan menolak budaya jahiliah. Salam ke atas Bondamu, Sayyidah Khadijah al-Kubra, wanita termulia isteri tercinta Nabi SAW dunia akhirat yang banyak berkorban demi menegakkan Islam di mata dunia. 

Sama-sama kita sebarkan kesedaran ini.

#PELIHARA MARTABAT WANITA

#HIJAB HAK ASASI WANITA

#ISLAM PEMBELA WANITA

FB/Suara Niqabis Malaysia

 

0 have signed. Let’s get to 100!
At 100 signatures, this petition is more likely to be featured in recommendations!