Mansuhkan Penyahwartaan 536​.​7 Hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Mansuhkan Penyahwartaan 536​.​7 Hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara

0 have signed. Let’s get to 150,000!
At 150,000 signatures, this petition becomes one of the top signed on Change.org!
Coalition for the Protection of Selangor's Forests started this petition to YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari and

Salam YAB Dato’ / YB Dato' / YBhg. Tuan/Puan

MANSUHKAN PENYAHWARTAAN 536.7 HEKTAR HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU)

Kami rakyat Selangor tidak menyokong dan tidak menerima keputusan penyahwartaan 536.7 hektar dari 957.63 hektar keluasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan bercampur (Rujukan:  Warta Kerajaan negeri Selangor, Artikel No. 1810, Pelan Warta: 3018, bertarikh 4 Ogos 2021).

Kami menolak keputusan MMKN Ke-17/2021 pada 5 Mei 2021 yang disahkan oleh MMKN Ke18/2021 pada 19 Mei 2021 bagi penyahwartaan seluas 536.7 ha daripada kesuluruhan kawasan HSKLU di bawah Seksyen 11 dan 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Penyahwartaan seluas 536.7 hektar daripada sebahagian kawasan HSKLU adalah tidak selari dengan perancangan Kerajaan Negeri Selangor yang termaktub dalam Rancangan Struktur Negeri 2035 untuk mengekalkan 32% kawasan hutan di Negeri Selangor. Selain itu, cadangan penyahwartaan ini juga adalah tidak selari dengan:-
• Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) (Akta 313);
• Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (2011 – 2020);
• Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025);
• Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN-3);
• Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030; dan
• Lain-lain obligasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Penyahwartaan ini juga tidak selari dengan matlamat dan objektif Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk mewartakan atau mengekalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung melalui Pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia bagi Rancangan Malaysia Ke-12.

Daerah Kuala Langat meliputi 85,770 hektar yang menampung bilangan penduduk berjumlah 322,400 orang. Hanya 9% keluasan di Daerah Kuala Langat adalah kawasan berhutan termasuk HSKLU. Memandangkan Kerajaan Negeri Selangor seharusnya komited untuk meluaskan lagi kawasan HSK, maka HSKLU wajar dilindungi dan dikekalkan. HSKLU adalah sumber khazanah yang penting kepada lebih dari 1,500 masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan yang masih bergantung dengannya. Perkhidmatan ekosistem HSKLU yang tiada galang ganti dan kawasan hutan itu perlu dijaga dengan prinsip tadbir urus alam sekitar dan sosial yang baik.

APAKAH KESAN PENYAHWARTAAN 536.7 HEKTAR HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU)?
1. Penyahwartaan HSKLU akan mengabaikan hak masyarakat Orang Asli yang telah tinggal lebih daripada 130 tahun (sekurang-kurangnya sejak tahun 1886). Kerajaan Negeri perlu adil dan saksama bagi melindungi kepentingan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan;
2. Pembukaan kawasan hutan bagi tujuan pembangunan bercampur akan menjejaskan rangkaian ekologi, perkhidmatan ekosistem yang sedang diberikan, mengakibatkan kehilangan habitat hidupan liar termasuk flora, dan kepupusan akuatik;
3. Meningkatkan risiko kebakaran tanah gambut di HSKLU dan kawasan sekitarnya;
4. Meningkatkan risiko penurunan paras tanah dan banjir di kawasan tersebut;
5. Meningkatkan risiko banjir atau kekurangan air. Ini akan memusnahkan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli;
6. Gangguan ekologi kepada lembangan Sungai Langat dan Sungai Klang;
7. Pembangunan di kawasan HSKLU (termasuk penebangan pokok, pengorekan tanah gambut dan pembinaan saliran) membawa kepada pelepasan 3.2 juta tan karbon dioksida (CO2) yang menyumbang kepada pemanasan tempatan dan global serta masalah perubahan iklim;
8. Tiada lagi kawasan penting untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan sebagaimana satu hub kepentingan sosio-ekonomi setempat.

HSKLU adalah kawasan penting bagi tujuan pemuliharaan kepelbagaian biologi dengan menyokong beberapa kehidupan spesies jarang ditemui seperti Beruang Matahari (Helarctos malayanus), Tupai Terbang Terkecil Selangor (Petaurillus kinlochii) dan Ikan Laga Merah Langat (Betta livida). Selain itu, HSKLU juga berperanan sebagai habitat kepada beberapa spesies Dipterokarp yang mempunyai status “Terancam Kritikal” dan “Terancam” (terdapat pada Senarai Merah Tumbuhan Terancam di Malaysia) seperti Meranti Bunga (Shorea teysmanniana), Meranti Bakau (Shorea uliginosa) dan Mersawa Paya (Anisoptera marginata).

PERUBAHAN IKLIM – KEPENTINGAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA (HSKLU)
Hampir keseluruhan kawasan HSKLU adalah kawasan tanah gambut yang bercirikan kawasan berpaya. HSKLU amat bernilai tinggi dari segi fungsinya sebagai tapak takungan karbon semulajadi kerana bahan organik pada hutan tersebut telah terkumpul lebih daripada ribuan tahun. Kini stok takungan karbon tersebut berada pada lapisan bawah bahan organik yang terbentuk mencecah beberapa meter kedalaman tanah di HSKLU. Pembukaan kawasan dan pembinaan saliran di HSKLU boleh menyebabkan berlakunya pengoksidaan bahan organik tersebut dan berlakunya pelepasan karbon dioksida ke atmosfera.

Hutan Paya Gambut (HPG) juga berupaya menyimpan 10 kali ganda jumlah karbon pada satu-satu masa bagi setiap hektar berbanding lain-lain jenis hutan tropika. Nilai konservasi pada HSKLU termasuklah berfungsi sebagai tapak takungan karbon semulajadi dan pengawalaturan komposisi karbon dioksida dalam atmosfera. Kemusnahan HPG menjadi punca terbesar pelepasan gas rumah hijau di dalam atmosfera dan menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim global.

HSKLU mempunyai keupayaan penyimpanan karbon sehingga 1,600 tan karbon setiap hektar (tan C/ha). Jumlah stok karbon tersimpan di HSKLU pula hampir mencecah 1.5 juta tan karbon. Dianggarkan 5.5 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) dapat dibendung sekiranya HSKLU dikekalkan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Pengekalan HSKLU sebagai HSK:
• Melindungi ekosistem dan kepelbagaian biologi termasuk spesies flora dan fauna yang terancam kritikal;
• Melindungi hak dan kepentingan masyarakat terhadap persekitaran hidup yang sihat; menghasilkan sumber yang lestari;
• Melindungi identiti kebudayaan populasi yang bergantung kepada hutan; dan
• Mengekalkan perkhidmatan ekosistem secara percuma. Ini termasuklah pengekalan kepelbagaian biologi, penghasilan hujan, penyimpanan karbon, kestabilan tanah dan sebagainya.

Kami rakyat Selangor tidak menyokong penyahwartaan 536.7 hektar dari 957.63 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan bercampur sepertimana yang dimaklumkan oleh oleh Exco Selangor, Hee Loy Sian ketika sesi soal jawab sidang DUN Selangor pada 30 Ogos 2021 di Dewan Negeri Selangor Yang KeEmpat Belas Tahun 2021.

Kami menyeru Kerajaan Negeri untuk menghentikan dan memansuhkan penyahwartaan 536.7 ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan melindunginya demi kelestarian Selangor dan dunia sejagat.

0 have signed. Let’s get to 150,000!
At 150,000 signatures, this petition becomes one of the top signed on Change.org!