TOMMY THOMAS: PEGUAM NEGARA PALING TERUK DALAM SEJARAH MALAYSIA

0 have signed. Let’s get to 75,000!


TINDAKAN campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah satu tindakan yang amat memalukan sistem keadilan negara sekali gus memburukkan imej Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia.

2. Prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib merupakan usaha sistem keadilan negara mencari punca kematian bekas anggota JPBM itu. Setelah lebih beberapa bulan rakyat di seluruh negara menaruh harapan mencari kebenaran, Tommy Thomas tiba-tiba hadir campur tangan, mencemarkan prosiding inkues yang kini berada di fasa terakhir.

3. Beliau memberi alasan kononnya wujud elemen “konflik kepentingan” dan menjadikan peguam Syazlin Mansor sebagai mangsa. Namun beliau tidak jelaskan tentang kecenderungan Jabatan Peguam Negara yang seolah-olah telah lebih awal memutuskan “kematian Allahyarham Muhammad Adib bukan sebab dipukul”.

4. Sekiranya penglibatan Syazlin adalah salah, mengapa Tommy Thomas membutakan mata sejak hari pertama prosiding kes pada 11 Februari lalu? Kenapa beliau hanya “celik” tentang Syazlin selepas 3 bulan ketika mana prosiding inkues berada di saat akhir? Adakah ianya semata-mata kerana “Syazlin” atau testimoni yang menegaskan “Allahyarham Muhammad Adib maut kerana dipukul”?

5. Selain itu, ekoran penglibatan Syazlin dilihat salah di mata Tommy Thomas, apakah prosiding inkues yang telah berlangsung selama lebih 3 bulan itu tidak sah dari sudut perundangan negara? Sesungguhnya tindakan tidak profesional beliau memberikan implikasi mengelirukan orang ramai terhadap proses mencari keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib.

6. Tommy Thomas perlu berhenti menjadikan Jabatan Peguam Negara sebagai “firma guaman” hak miliknya sendiri kerana badan perundangan itu merupakan sebuah badan bebas milik kerajaan yang berperanan mendokong sistem keadilan negara dan bukan untuk bertindak memuaskan hati atau kehendak pihak tertentu.

7. Selain daripada isu “aksi bergelek sakan” yang memalukan badan perundangan negara sebelum ini, Tommy Thomas sejak dilantik sebagai Peguam Negara dilaporkan telah membuat banyak keputusan pelik dengan menarik balik dan tidak meneruskan pendakwaan kes-kes tertentu di mahkamah sehingga mencetus banyak persoalan kepada masyarakat.

8. Justeru itu, Tommy Thomas nampaknya tidak layak memegang jawatan Peguam Negara dan perlu segera meletak jawatan secara terhormat. Perdana Menteri juga selaku pemimpin tertinggi negara seharusnya mempertimbang untuk mencadangkan Yang DiPertuan Agong supaya menamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara demi menjamin ketelusan badan perundangan negara.

11 SEBAB KENAPA TOMMY THOMAS HARUS LETAK JAWATAN PEGUAM NEGARA

KAMI mendesak agar Tommy Thomas segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berasaskan 11 SEBAB yang digariskan seperti berikut:

(1) Pendedahan Puan Syazlin Mansur bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai campur tangan Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Adib selain wujudnya Afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mendeposkan Allahyarham Adib tidak dipukul sedangkan prosiding inkues belum pun selesa, jelas menunjukkan betapa lemah dan kurang arifnya Tommy Thomas mengenai perjalanan inkues dan diragui kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas.

(2) Wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan misalnya pengguguran sepenuhnya kes rasuah YB Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah, jelas membelakangi prinsip ‘Rule of Law’ dan integriti sebagai Peguam Negara.

(3) Selaku Peguam Negara Tommy Thomas gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada KDYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu.

(4) Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas jelas tidak menghormati keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dan Kerajaan Malaysia berkenaan Statut Rom dengan melibatkan diri dalam wacana awam yang secara terbuka mengkritik keputusan kabinet dan memperlekehkan Raja-Raja Melayu.

(5) Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menasihati Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga amat memalukan kerana akhirnya terbukti bersifat sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif malah berlakunya pembaziran masa serta sumber negara.

(6) Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas telah melantik peguam luar, Sitpah Selvaratnam bagi mengendalikan kes kapal mewah Equanimity dengan bayaran upah yuran guaman yang amat tinggi iaitu sebanyak RM2 juta sedangkan penghakiman di dalam kes tersebut hanyalah penghakiman ingkar (default judgement) dan tidak melibatkan sebarang proses perbicaraan. Dalam isu ini juga, Tommy Thomas didapati menipu kerana bertentangan dengan kenyataan awal beliau bahawa peguam luar dilantik tanpa sebarang bayaran atau Pro-bono.

(7) Tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik negara tanpa alasan munasabah seperti kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia Adelina Jerima Sau dan juga kes yang melibatkan dua suspek warga Vietnam dan Indonesia dalam kes pembunuhan warga Korea Utara yang dipercayai sebagai Kim Jong Nam, abang kepada Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. Tindakan ini sekali lagi membelakangi prinsip 'Rule of Law' dan kedaulatan undang-undang negara.

(8) Tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara membatalkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) sekali lagi mencetuskan persepsi buruk terhadap kebebasan dan integriti Institusi Peguam Negara lantaran tularnya video tarian ‘twist’ Tommy Thomas dengan Siti Kassim tidak berapa lama sebelum kes itu digugurkan.

(9) Tularnya satu audio rakaman perbualan Peguam Siti Kassim yang mendakwa beliau telah bercakap dengan Tommy Thomas berkenaan kes saman Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan berkaitan isu Orang Asli di Gua Musang yang difailkan setelah pengumuman tarikh Pilihanraya Kecil Cameron Highland menyerlahkan lagi akan wujudnya konspirasi dan hilangnya kredibiliti, integriti dan kebebasan Peguam Negara.

(10) Pengumuman keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia oleh Pengerusinya, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) disifatkan ramai pihak sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu perbincangan kementerian pendidikan dan merujuk kepada kabinet menimbulkan bantahan dan kritikan rakyat terhadap sikap dan pendirian Peguam Negara.

(11) Campur tangan Peguam Negara dalam Kes Rogol Pembantu Rumah Warga Indonesia yang melibatkan Exco DAP Perak yang terlepas daripada hukuman ternyata menimbulkan persoalan dan tanda tanya!

Justeru jika benar Kerajaan Malaysia Baharu ini masih berpegang kepada prinsip ‘Rule of Law’ dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka berdasarkan 11 SEBAB di atas, KAMI menegaskan bahawa Tommy Thomas tidak lagi layak untuk terus memegang jawatan selaku Peguam Negara. 

Malaysian Youth Activist (MALAYA)