Seperti diketahui, kita pernah melancarkan Petisyen Apple Pay sejak 2018.
Hasrat ini dicadangkan oleh saya dan disokong sepenuhnya oleh majoriti pengguna Apple.
Petisyen Apple pertama kali dibuat pada tahun 2018 dan mendapat perhatian Eddy Cue yang merupakan salah seorang pengurusan tertinggi Apple.
Laporan Petisyen setebal 150 muka surat menzahirkan harapan kita agar Apple Pay terlaksana.
Pihak Apple South Asia Pte Ltd telah mengambil alih kes tersebut disebabkan Malaysia di bawah seliaan mereka.
Seperti yang dijangkakan, maklum balas daripada mereka sekadar menyedapkan hati semata-mata.
Pokoknya, mustahil untuk mereka mengesahkan tentang perkara tersebut.
Disebabkan semangat pengguna Apple yang tidak putus asa, Petisyen kedua telah bermula pada tahun 2019.
Seperti biasa jawapan yang sama telah diberikan oleh Apple South Asia Pte Ltd.
Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kita meneruskan Petisyen Apple Pay 3.0 pada awal 2021.
Alhamdulillah, kali ini Eddy Cue dan pengurusan tertinggi yang mengawal selia Apple Pay telah membaca Petisyen tersebut.
Walaupun jawapan yang diberikan mendukacitakan. Pihak mereka mengetahui akan hasrat kita semua.
Kini segala impian untuk memperoleh Apple Pay telah tercapai. Beberapa bank tempatan akan menawarkan Apple Pay kepada seluruh pengguna Apple di Malaysia.
Ingin saya jelaskan, kedatangan Apple Pay ke Malaysia bukan berpunca daripada Petisyen yang dibuat sebelum ini.
Namun, Petisyen ini sekurang-kurangnya menjadi satu sokongan kecil daripada pengguna Apple di Malaysia.
Alhamdulillah, Apple Pay mendarat di Malaysia. Maka berakhirlah perjuangan kita semua.
Sekali lagi saya ingin mengingatkan kepada rakan Twitter bahawa saya tiada kaitan dalam membawa Apple Pay masuk ke Malaysia.
Cuma ingin dijelaskan, mungkin Petisyen kita membantu untuk membuka hati mereka sedikit sebanyak.
Saya ucapkan terima kasih kepada agensi atau individu yang berjaya membawa Apple Pay masuk ke Malaysia.
Ingat, tiada yang mustahil untuk sesebuah perkhidmatan itu masuk ke Malaysia.
Dulu pelbagai dakwaan kononnya ECG dan Apple Pay tidak mungkin masuk.
Malah mempersendakan kita semua seolah-olah perkhidmatan berkenaan eksklusif untuk negara tertentu sahaja.
Kini ECG dan Apple Pay masuk ke Malaysia. Kita menanti kehadiran gedung rasmi Apple tidak lama lagi.
Selamat menggunakan Apple Pay dan terima kasih semua atas sokongan sewaktu kita bersama-sama dalam melancarkan Petisyen sejak 2018 lagi.
Wassalam.

