KEMBALIKAN MARUAH INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU


Komen Asal dari FB Page : Nik Zafri pada 14 Mei, 2018 jam 9:51 malam https://web.facebook.com/nikzafri1/posts/1953278788024611
DIRGAHAYU TUANKU, DAULAT TUANKU KEMBALIKAN MARUAH INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU
Mengembalikan maruah Institusi Raja-Raja Melayu Ini merupakan harapan saya yang terbesar terhadap Kerajaan baru. Institusi Raja-Raja Melayu termasuk KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong adalah dilindungi secara eksklusif oleh Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Negeri, Agama dan Adat Istiadat.
Tetapi tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat suara-suara sumbang yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sistem beraja menggunakan kaedah provokasi dan mengeluarkan kata-kata biadap terhadap Raja-Raja Melayu menerusi media sosial dsb. Lebih menyedihkan, ianya datang daripada golongan Melayu yang beragama Islam sendiri.
Malah terdapat "bisikan-bisikan" yang jahat ini datang daripada segelintir manusia dari beberapa parti-parti siasah yang mendakwa mereka adalah pejuang raja, bangsa dan tanahair. Tetapi niat manusia-manusia ini adalah seumpama kembali ke zaman Residen yang kononnya menasihati Raja-Raja Melayu tetapi secara sedar dan tidak sedar, Residen telah mengikis kuasa Raja-Raja Melayu di samping memegang kuasa "veto".
Alhamdulillah, walaupun ada percubaan seperti catatan hitam sejarah, kerajaan perlu memastikan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu tetap terpelihara. Fakta sejarah juga sedikit sebanyak diubah untuk memburukkan imej Raja-Raja Melayu walhal kisah sebenar, dalam diam-diam tanpa diketahui penjajah, merekalah yang menjadi pencetus kepada bangkitnya semangat perjuangan pahlawan-pahlawan kita tidak kira menggunakan keris, tombak mahupun tentera yang menggunakan senapang, meriam dsb.
Fakta sejarah sebenar ini penting kerana Raja-Raja Melayu banyak difitnah menerusi sejarah yang mendakwa mereka menjual negara dan kononnya tunduk kepada penjajah - walhal banyak kisah Raja-Raja Melayu turun sendiri ke gelanggang perang contohnya Sultan Ahmad Tajuddin Kedah. Dan bagaimana kasihnya raja kepada rakyatnya dan tidak mahu rakyatnya terkorban disebabkan kezaliman. Pada saya secara peribadi, perbuatan cuba memalukan Raja-Raja Melayu ini adalah satu perbuatan yang amat tidak boleh kita ambil ringan. Saya cadangkan supaya :
1) Kerajaan dapat mendidik rakyat jelata (TANPA mengira kaum) mengenai Perlembagaan (contohnya Perkara 38) dan kenapa perlunya kesetiaan kepada Raja dalam Rukun Negara, apakah dia Mesyuarat Durbar, apakah peranan Majlis Perajaan, apakah signifikannya (kerana saya rasa, ramai lagi generasi muda yang semakin jauh dengan sejarah Raja-Raja)
DYMM Sultan Nazrin Shah pernah menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan rakyat negara ini yang semakin hilang sifat tolak ansur menyebabkan wujud pemisahan masyarakat mengikut etnik dan agama di mana terdapat kumpulan masyarakat yang tidak senang hati terhadap layanan istimewa manakala kumpulan lain melihat layanan istimewa itu hak yang tidak boleh dipersoalkan (Utusan Malaysia 2007)
2) Kerajaan perlu mengkaji semula sejarah kerana terdapat fakta sejarah yagn mungkin telah diubah oleh penjajah dan ejen-ejennya, contohnya dikatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong adalah berdasarkan Perakuan Suruhanjaya Reid dan tentangan terhadap Malayan Union.
Walhal jika disingkap kisah sebenar, terdapat konflik mengenai konsep Raja kepada Raja-Raja ini kerana konsep ini telah ada di zaman Sultan Muzaffar 1 (Maharaja Durbar II Raja Phra Ong Mahawanser, Raja Kalaha yang ke-9 (1136 Masihi/531 Hijrah) di mana baginda dianggap sebagai Raja kepada Raja-Raja di Nusantara (Kedah Lama) dengan Islam sebagai agama Rasmi oleh Sayyid Syeikh Abdullah Al-Qumairy - JAUH lebih dahulu daripada perakuan Suruhanjaya Reid.
3) Kerajaan perlu mempromosikan konsep "ulama-umara" iaitu Ulama yang ahli dalam babnya adalah penasihat kerohanian/keagamaan/hukum (usul/fiqh/tauhid/tasauf) kepada Raja-Raja Melayu,
4) Kerajaan perlu mempromosikan konsep "raja dan rakyat berpisah tiada",
5) Kerajaan perlu menjelaskan apakah hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dan apa pula peranan kerajaan dalam membantu menegakkan sistem monarki.
6) Kerajaan perlu bertindak TEGAS mereka yang "mengutuk" dan "menghina" Raja-Raja Melayu dalam apa juga media cetak atau sosial, Saya juga berpendapat, Raja-Raja Melayu atau wakil diraja (jika baginda gering/uzur) supaya lebih mencemar duli "turun ke lapangan/padang" untuk mendekati rakyat serta memudahkan urusan/protokol bagi sesiapa yang ingin mengadap atau mengutuskan surat kepada mereka. (Majlis Adat Istiadat atau Bahagian Protokol/Etika Istana perlu membuat lebih banyak pendedahan kepada ramai rakyat jelata mengenai perkara ini)
Sememangnya telah terdapat Raja-Raja Melayu atau wakil diraja kelihatan turun bertemu rakyat tetapi rasa, mungkin ianya boleh ditingkatkan lagi. Ini sudah menjadi perkara biasa bagi kerabat-kerabat Di Raja yang bergaul mesra dengan orang ramai sehingga tidak terlihat langsung perbedaan taraf.
Saya pasti rakyat akan sangat teruja melihat Raja-Raja Melayu atau wakil diraja merendah diri untuk mengetahui secara langsung perkembangan rakyat mereka.
DIRGAHAYU TUANKU, DAULAT TUANKU
Nik Zafri