

Kuala Lumpur, 20 Januari 2026 – Seramai 200 orang yang terdiri daripada pesawah, petani kecil, NGO alam sekitar dan aktivis sosial hari ini berhimpun di hadapan Parlimen Malaysia bagi menyerahkan dua memorandum mendesak pembelaan hak petani kecil serta menolak monopoli benih melalui UPOV 1991. Memorandum tersebut telah diserahkan kepada wakil kerajaan, Timbalan Menteri Pertanian dan wakil pembangkang, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dan Ketua Whip Perikatan Nasional.
Gabungan ini menyatakan kebimbangan serius terhadap tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyerahkan draf pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634/PNPV 2004) kepada Sekretariat UPOV di Geneva pada 23 September 2025 bagi disemak untuk pematuhan kepada Konvensyen UPOV 1991. Gabungan ini juga mendesak untuk suatu penyelesaian kepada tekanan kos dan harga yang terus diterima oleh pesawah, yang merupakan jumlah petani paling ramai di Malaysia.
Tindakan tersebut membenarkan sebuah badan asing mempengaruhi pembentukan undangundang Malaysia tanpa rundingan menyeluruh dengan kerajaan negeri termasuk Sabah and Sarawak, pesawah, petani kecil dan pihak berkepentingan lain, sekali gus mencabul kedaulatan negara. Pindaan yang dicadangkan untuk penyertaan Malaysia dalam konvensyen UPOV 1991 akan membatalkan hak tradisi petani kecil untuk menukar dan menjual benih dan mengehadkan 2 hak menyimpan benih untuk pembiakan, satu amalan yang masih diamalkan oleh sebahagian besar pesawah and petani kecil tempatan.
Pindaan yang dicadangkan oleh KPKM juga akan memadamkan seksyen-seksyen penting, iaitu antara lain ialah peruntukan-peruntukan untuk pencegahan biopirasi (Seksyen 12(1)(e), (f) dan (g)); perlindungan kepentingan awam (Seksyen 15 dan Seksyen 12(1)(h)); mewajibkan bekalan benih mencukupi pada harga munasabah (Seksyen 34) dan memastikan ketersediaan bahan pembiakan berterusan (Seksyen 27).
Pindaan-pindaan KPKM untuk pelaksanaan UPOV 91 berpotensi menyebabkan peningkatan kos benih dan kebergantungan kepada benih impot dan input pertanian komersial serta mengurangkan pilihan petani terhadap benih yang sesuai dengan keadaan setempat. Ini akan menambah tekanan kewangan sedia ada.
Gabungan ini menegaskan bahawa Akta PNPV 2004 yang sedia ada sudah pun seimbang antara hak pembiak baka dan hak petani serta melindungi hak masyarakat orang asal dan biodiversity tempatan serta kepentingan awam dan negara. Menggantikan kerangka ini dengan peruntukan-peruntukan UPOV 1991 akan memusnahkan keseimbangan tersebut, menyingkirkan perlindungan yang sedia ada dan meletakkan dasar benih negara di bawah pengaruh kuasa asing. Ia juga akan menimbulkan persoalan percanggahan dengan Perkara-Perkara 5 dan 76(2) Perlembagaan Persekutuan.
Kami menyeru semua Ahli Parlimen untuk pertamanya menghentikan proses penyertaan UPOV 1991 dan pembentangan pindaan kepada Akta PNPV 2004 di Parlimen dan kedua mengekalkan sistem sui generis dalam Akta PNPV 2004 yang sedia ada yang telah terbukti seimbang dalam melindungi inovasi sambil menjaga hak asasi petani kecil, masyarakat orang asal dan tempatan, kedaulatan benih dan kepentingan awam dan negara.
Pada hari ini juga, antara isu utama yang diutarakan oleh pesawah adalah gesaan penetapan kadar pemutuan padi maksimum pada tahap 20%, semakan harga lantai padi kepada RM1800, serta penambahbaikan subsidi dan pengurangan kos input pertanian. Pesawah turut membantah sebarang dasar yang mengukuhkan monopoli dalam rantaian padi dan beras di semua peringkat penghasilan padi. Selain itu, isu kelewatan pengedaran baja, kelemahan pengurusan air, birokrasi skim takaful bencana, serta ketirisan dan kelemahan tadbir urus agensi berkaitan turut dibangkitkan sebagai faktor utama yang menjejaskan kelangsungan hidup pesawah.
Gabungan petani dan pesawah yang hadir pada hari ini menyeru agar kerajaan mengambil tindakan serius dan menyeluruh terhadap semua tuntutan yang dikemukakan. Gabungan ini menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan hak petani, masyarakat orang asal dan tempatan demi menjamin kedaulatan benih dan makanan dan keterjaminan bekalan makanan negara.
Video Link: https://youtu.be/eJ43VcOkVOA?si=FIsEDAeMUjoiWby4
-TAMAT-