Bentang dan luluskan RUU anti lompat parti SEGERA!Table and pass the Anti-Hopping Law NOW!

Bentang dan luluskan RUU anti lompat parti SEGERA!Table and pass the Anti-Hopping Law NOW!
Why this petition matters

Bentang dan luluskan RUU anti lompat parti SEGERA!
Anda dialu-alukan untuk menandatangani petisyen ini untuk memberikan tekanan kepada kerajaan supaya membentangkan dan meluluskan sebuah rang undang-undang anti lompat parti di Parlimen. Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob telah berjanji untuk berbuat demikian pada 28 Februari 2022. Pada 01 Mac 2022, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah diberi janji bahawa Perdana Menteri akan membentangkan Rang Undang-undang itu pada minggu seterusnya. Setakat ini, Parlimen masih belum menerima apa-apa pembentangan rang undang-undang ini.
Perbuatan melompat parti telah menyebabkan seluruh negara terjerumus ke dalam krisis politik:
1. Dua buah kerajaan persekutuan dan tujuh kerajaan negeri di lima negeri telah jatuh. Ini telah menyebabkan ketidakstabilan politik yang begitu ketara.
2. Para pengundi sudah muak akibat mandat mereka dikhianati. Ramai sudah hilang kepercayaan kepada proses pilihan raya.
3. Kelulusan undang-undang anti lompat parti ini penting untuk perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan Persekutuan dan parti-parti pembangkang. Kegagalan untuk berbuat demikian mungkin akan menyebabkan kerajaan jatuh dan menambah lagi ketidakstabilan politik.
Apa yang rakyat mahu?
Undang-undang anti lompat parti perlulah dibentangkan dan diluluskan pada sidang parlimen kali ini (dijadualkan sehingga 24 Mac 2022) seperti yang dijanjikan oleh YB Dato' Sri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. Seperti yang dimaksudkan, undang-undang ini akan mencegah perbuatan melompat parti dengan cara memaksa kekosongan kerusi sekiranya seseorang Ahli Parlimen itu melompat parti. Dengan itu, para pengundi di kawasan berkenaan bolehlah memilih seorang wakil rakyat yang baharu. Para pengundi mahukan jaminan bahawa undi mereka ada harga, manakala wakil rakyat mereka juga perlu berpegang pada janji.
Kami juga menyeru agar pembaharuan-pembaharuan berikut turut termasuk dalam rang undang-undang anti lompat parti:
1. Memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini menghalang seseorang Ahli Parlimen yang telah meletak jawatan daripada bertanding kembali dalam tempoh lima tahun. Fasal ini harus dihapuskan bagi membolehkan seseorang Ahli Parlimen yang meletak jawatan atas dasar prinsip bertanding kembali bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
2. Menyemak kembali Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa sebuah pilihan raya kecil perlu diadakan jika sesebuah kerusi itu kosong dalam masa dua tahun daripada tarikh pembubaran wajib Parlimen. Tempoh dua tahun ini harus dipendekkan kepada enam bulan. Ini bagi memastikan setiap kerusi Parlimen itu tiada wakil buat tempoh yang terlalu lama akibat perbuatan melompat parti.
3. Tidak meminda Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Ini agar setiap kerajaan negeri tidak terikat kepada undang-undang anti lompat parti di peringkat Persekutuan, serta bebas menentukan sendiri mekanisme yang sesuai bagi menguruskan perbuatan melompat parti atau melompat gabungan parti.
Anda boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan undang-undang anti lompat parti melalui laman media sosial kami di sini:
https://www.facebook.com/BERSIH2.0
https://www.instagram.com/bersihmsia/
Released by,
The Steering Committee of BERSIH