
Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2019 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam sidang Parlimen pada penggal ini.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, berkata rang undang-undang berkenaan dibuat bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020, namun bacaan kali kedua yang dijadualkan pada 27 Ogos 2020 ditangguhkan.
Katanya, susulan pertukaran kerajaan pada 1 Mac 2020, mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April 2020 telah bersetuju supaya tanggungjawab RUU IPCMC diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dibentangkan semula di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Hamzah berkata, susulan dari keputusan mesyuarat itu, KDN melalui jawatankuasa teknikal telah menjalankan kajian terperinci bagi tujuan penggubalan RUU yang baharu bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.
Beliau berkata, RUU yang baharu ini dinamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).