KERAJAAN PERLU MENUBUHKAN JABATAN IT DAN MELANTIK KETUA PERKHIDMATAN DRPD PROFESIONAL IT.

0 have signed. Let’s get to 10,000!


PENGENALAN

Keputusan kabinet berkenaan perpindahan MAMPU ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui surat bertajuk Cadangan Rasionalisasi Struktur Jabatan Perdana Menteri bertarikh 28 Jun 2018 dilihat sebagai reformasi baharu ke arah meningkatkan daya saing Teknologi Maklumat (IT) Sektor Awam. Ia seiring dengan fungsi agensi berteraskan IT lain yang diletakkan di bawah KKMM seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Namun begitu, arahan bertarikh 12 Oktober 2018 untuk mengekalkan MAMPU kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui surat bertajuk Perakuan Pindaan Waran Perjawatan Berikutan Perubahan Semula Senarai Agensi di bawah Program Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tahun 2018, telah menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak.

Keputusan mengembalikan fungsi teras IT di bawah MAMPU dilihat tidak seiring dengan amalan terbaik negara maju seperti di United Kingdom melalui Government Digital Service, Australia melalui Digital Transformation Office, Singapura melalui Govtech dan Korea Selatan melalui National Computing and Information Service. Prestasi perkhidmatan dalam talian negara tersebut dilihat lebih signifikan dan berdaya saing dengan meletakkan ICT sebagai satu entiti yang berautoriti bagi menjalankan aktiviti khusus berkaitan penyelidikan dan pembangunan berkaitan ICT. Model ini seharusnya diadaptasi di Malaysia bagi memastikan prestasi perkhidmatan IT kerajaan yang lebih baik ke arah pembangunan yang mapan.

RESOLUSI

Sehubungan dengan itu, kami mendesak agar pihak kerajaan mengkaji semula keputusan ini dengan menimbangkan dua (2) resolusi utama yang didatangkan bersama petisyen ini iaitu:

#1 MENUBUHKAN JABATAN IT
Jabatan IT sebagai sebuah entiti yang berautoriti secara khusus dengan memberi fokus kepada reformasi pendigitalan sistem penyampaian kerajaan meliputi aktiviti berkaitan penggubalan akta/dasar/polisi, penyelidikan, pembangunan, pelaksanaan dan penguatkuasaan program di bawah Pelan Pendigitalan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2017 serta aktiviti berkaitan IT Sektor Awam. Jabatan IT juga berperanan penting bagi menyelaras aktiviti tersebut merentasi kementerian dan agensi. Menerusi Jabatan IT, perkhidmatan dapat dikoordinasi dengan lebih baik serta mengatasi pertindanan dan birokrasi di antara agensi seterusnya mengembalikan semula tahap penerimaan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan dalam talian kerajaan.

#2 MELANTIK KETUA PERKHIDMATAN DARIPADA PROFESIONAL IT
Sektor IT kerajaan hendaklah diterajui oleh Ketua Perkhidmatan dari kalangan Pegawai Skim Teknologi Maklumat (F) dan dianggotai oleh pegawai profesional yang berpengetahuan di dalam bidang IT. Ia penting bagi memastikan keputusan dasar yang lebih tepat dan realistik seiring dengan tuntutan semasa rakyat dan perubahan pantas ekosistem perkhidmatan kerajaan serta memacu profesionalisma Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat. Pada ketika ini, bilangan pegawai Skim Perkhidmatan Sistem Maklumat yang dipusatkan di MAMPU telah melebihi 10,000 orang.

PENUTUP

Kami menyokong penuh dasar dan kemimpinan baharu kerajaan yang dilihat lebih proaktif memperkasa fungsi perkhidmatan awam ke arah pembangunan negara yang mapan. Kami percaya Malaysia Baharu memerlukan reformasi perkhidmatan awam yang holistik dengan memperkukuh fungsi IT Sektor Awam. Dengan usaha bersepadu kami yakin Wawasan 2025 untuk kembali meletakkan Malaysia di landasan negara maju bakal tercapai.



Today: Skim F is counting on you

Skim F Sektor Awam needs your help with “Government of Malaysia: KERAJAAN PERLU MENUBUHKAN JABATAN IT DAN MELANTIK KETUA PERKHIDMATAN DRPD PROFESIONAL IT.”. Join Skim F and 8,522 supporters today.