Tarik balik bantahan jualan barangan bukan halal di Jaya Grocer Ecoworld Puncak Alam

0 have signed. Let’s get to 5,000!
At 5,000 signatures, this petition is more likely to get picked up by local news!
Feisal Kamil started this petition to YB Shaid Rosli (ADUN Jeram Selangor)

Kami rakyat Malaysia memohon YB menarik balik bantahan saudara terhadap pembukaan bahagian jualan bukan halal di Jaya Grocer Ecoworld Puncak Alam yang menimbulkan trauma Jaya Grocer sehingga bahagian itu ditutup dengan papan serta-merta.

Sungguhpun kami mengambilmaklum keprihatinan YB tentang perasaan sebilangan orang penduduk Muslim di Puncak Alam, kami merasakan bantahan YB adalah tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab dan hendaklah ditarikbalik segera.

Pendirian kami adalah seperti berikut:

  1. Alasan YB bahawa Puncak Alam adalah “Malay Territory”  mencederakan hati semua rakyat yang cintakan bumi Malaysia sebagai tanahair bersama kurnian Allah ta’ala untuk semua insan. Malaysia yang dibentuk pada 1963 bukan Tanah Melayu. Mentaliti “Malay Territory” ini bukan sahaja menganaktirikan rakyat Semenanjung yang bukan Melayu, malah adalah penghinaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua wilayah ini membentuk Malaysia bersama Malaya untuk menjadi Malaysia, bukan “Wilayah Melayu”.
  2. Bersatu kita teguh yang disebut oleh YB dalam pautan Facebook yang sama itu langsung berlawanan dengan idea-idea murni Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Tun Fuad Stephens. Bagi tokoh-tokoh yang mulia ini, “kita” merangkumi semua rakyat Malaysia, bukan satu kaum satu agama. Kalau Malaysia ini bumi yang mengutamakan Melayu sahaja dan menganaktirikan yang lain, ini bukan sahaja fikiran assabiyah (perkauman) yang ditegah kuat oleh Rasulullah Muhammad s.a.w., malah ia boleh memecahkan Malaysia kerana rakyat Sabah and Sarawak akan menuntut perpisahan.

    Melalui rayuan ini, kami harap YB dapat memahami apa maknanya “bersatu kita teguh” yang sebenar. Kami bersatu teguh untuk membela hak-hak semua rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan melindungi kontrak sosial ini daripada dipijak sesuka hati oleh mana-mana ahli politik yang tidak bertanggungjawab. Penindasan terhadap mana-mana rakyat Malaysia adalah penindasan kepada semua rakyat Malaysia.

    Yang Muslim antara kami mendukung hak saudara bukan Muslim kami, bukan kerana kami lemah dan terpedaya, tetapi kerana kami mencintai ibu pertiwi Malaysia dan semua anaknya. Kami semua ingat pesanan nenek-moyang orang Melayu dalam hidup bermasyarakat kita mesti bantu-membantu, bagaikan “bagai aur dengan tebing”. Kalau dibiarkan seorang tenggelam, akhirnya semua juga akan tenggelam.
  3. Tindakan YB yang secara efektifnya mengarahkan Jaya Grocer untuk menutup bahagian jualan bukan Halal juga adalah pencabulan kuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan penghinaan kepada Kerajaan Negeri Selangor pimpinan YAB Amirudin bin Shari. Apa yang dibenarkan atau dilarang untuk dijual adalah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan setiap negeri mempunyai dasar atas PBT-PBT.

    YB sebagai Ahli Undangan Negeri seharusnya sedar bahawa saluran sesuai yang menyampaikan keprihatinan YB adalah melalui Dewan Undangan Negeri ataupun Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) pimpinan YB Azmizam bin Zaman Huri. YB sudah pasti sedar maksud “kedaulatan Undang-undang”, prinsip ketiga Rukunegara, yang bermaksud sekalipun kerajaan perlu bertindak mengikut undang-undang, apatah lagi individu-individu seperti YB.

    Malang sekali, tindakan terburu-buru YB yang berjaya memaksa sektor swasta ikut arahan YB sebelum sebarang keputusan MDKS atau Kerajaan Negeri Selangor telah mencemar imej Selangor Darul Ehsan sebagai sebuah negeri madani dan moden yang berlandaskan undang-undang, keterangkuman dan kesusilaan ketika ekonomi kita perlu ransangan positif dan bukan gangguan politik.
  4. Mentaliti YB dan sesetengah penduduk Puncak Alam bahawa kerana 90% penduduk Puncak Alam adalah Muslim maka hak dan kebebasan 10% penduduk bukan Muslim harus disekat bercanggah dengan semangat Islam sebagai Rahmatan lil Alamin. Sekalipun saudara-saudara bukan Muslim antara kita bukan saudara seiman (ukhuwwah imaniyah) kepada Muslimim-Muslimat di kalangan kita, kita semua saudara sewatan kita (ukhuwwah wataniyah) dan pokoknya, saudara kita dalam kemanusian (ukhuwwah insaniyah).

    Yang Muslim antara kita harus sentiasa ingat firman Allah ta’ala: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.” (Al-Hujarat, 49:13) dan “Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat, tetapi Ia hendak menguji kamu apa yang telah disampaikan kepada kamu.” (Al-Maaidah, 5:48)

    Kewujudan masyarakat majmuk di bumi Malaysia ada erti besarnya. Pemimpin Muslim harus sentiasa mengingati teladan Rasulullah Muhammad s.a.w. yang sentiasa bertindak adil kepada semua rakyat di Madina yang juga masyarakat majmuk, tidak kira mereka Muslim atau bukan Muslim, penduduk asal (Ansar) atau yang datang kemudian (Muhajirin).

    Keangkuhan kerana majoriti tidak menguntungkan Islam ataupun umat Muslim, sebaliknya cuma menanam kecurigaan dan ketakutan masyarakat lain terhadap Islam dan Muslim. Sungguhpun niat YB adalah untuk mengangkat 90% penduduk Puncak Alam yang beragamakan Islam, malangnya tindakan YB telah menambahkan satu lagi peluru baru untuk Islamofobia dan Muslimofobia di seluruh dunia.

Rayuan ini bukan untuk menjatuhkan airmuka YB, tetapi teguran yang terpaksa dibuat untuk mengurangkan kesakitan dan pembinasaan yang telah berlaku kerana tindakan YB sekalipun kalau itu bukan niat YB. Segala tindakan kita ambil dalam nama agama, bangsa dan negara mesti menepati maqasid yang mempertingkatkan kepentingan awam (maslaha) secara menyeluruh.

Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan. Kami memohon YB menarik balik bantahan kepada Jaya Grocer Ecoworld dan menunjukkan kepada seluruh dunia umat Muslim di Puncak Alam bersemangat Madina dan tidak meminggirkan golongan minoriti sehingga Islam ditakuti atau diragui.

Semoga YB akan memimpin secara adil dan bertindak secara matang dan cuba mengikuti teladan Rasulullah yang bertimbang-rasa dan berlemah-lembut. Semoga YB akan mengukuhkan semangat kekitaan dan silaturahim di masyarakat Malaysia yang majmuk supaya negara kita dapat maju jaya dan disegani dunia.

Buah beracun janganlah ditelan
Hidup berjaga-jaga panjang hayat
Kembalilah YB ke pangkal jalan
Membela kepentingan semua rakyat

Semoga YB diberkati dengan kebijaksanaan, kesihatan dan kesejahteraan. Amin.

0 have signed. Let’s get to 5,000!
At 5,000 signatures, this petition is more likely to get picked up by local news!