UiTM, KAJI SEMULA KEMASUKAN 100% PELAJAR KE KAMPUS!

UiTM, KAJI SEMULA KEMASUKAN 100% PELAJAR KE KAMPUS!

Started
16 September 2022
Petition to
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
Signatures: 6,510Next Goal: 7,500
Support now

Why this petition matters

Started by Suara Siswa UiTM

Seperti yang kita semua sedia maklum, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi Semester Oktober 2022 - Februari 2023 adalah sepenuhnya secara bersemuka/fizikal. Ini bermakna, kemasukan pelajar ke kampus adalah 100%.

 

Namun begitu, timbul isu bahawa ramai pelajar tidak mendapat penempatan di kolej selain rumah sewa yang terhad. Hal ini menjejaskan ramai pelajar terutamanya mereka yang berada dalam golongan B40, mereka yang tiada pengangkutan sendiri, mereka yang berasal dari Semenanjung tetapi belajar di Sabah/Sarawak atau sebaliknya, mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke kampus dan lain-lain.

 

Kegagalan pihak universiti menyediakan tempat tinggal buat para pelajar amatlah jelas. Isu ini bukannya isu baharu bahkan sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya. Namun begitu, walaupun kapasiti kolej terhad, pihak universiti terus-menerus mengambil jumlah pelajar yang ramai. Hal ini menyebabkan ramai pelajar yang tidak dapat menduduki kolej. 

 

Pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang sepatutnya mewakili pelajar pula kelihatan lebih berpihak kepada pihak pengurusan. Ada juga pihak MPP di sesetengah kampus yang langsung tidak mengendahkan keluhan pelajar.

 

Pihak kami mengusulkan agar pihak universiti mengkaji semula kemasukan 100% pelajar ke kampus. Hal ini demikian kerana sudah pasti akan ada mahasiswa/i yang tiada tempat tinggal tetap walaupun kuliah sudah bermula kelak. Ramai juga mahasiswa/i yang terhimpit dek kos sewaan, kos pengangkutan dan deposit rumah sewa yang mencekik darah. Wujud juga kegelisahan dalam kalangan para pelajar berkenaan scammer rumah sewa yang semakin bermaharajalela di mana ramai pelajar sudah menjadi mangsa. Itu belum cerita kes pemilik rumah sewa yang enggan benarkan pelajar menyewa.

 

Kami mencadangkan agar program-program yang boleh diadakan secara atas talian terus diadakan secara atas talian. Pihak universiti tidak perlu mengeluarkan sebarang wang ringgit untuk memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan jika isu ini tidak selesai. Pihak pelajar juga dapat menjimatkan duit dengan tidak perlu menyewa rumah, membayar kos pengangkutan dan lain-lain. Pendek kata, adakan sesi PdP secara Open and Distance Learning (ODL) seperti semester lepas atau secara hibrid. Hal ini perlu dan wajar dilakukan oleh pihak universiti sehingga isu kolej dan rumah sewa ini dapat diselesaikan.

 

Pada pendapat kami, langkah ini adalah paling efektif dalam menyelesaikan isu ini. Kami tidak menafikan ada pelajar yang sudah lelah mengikuti kelas secara atas tlian. Akan tetapi, ramai juga pelajar yang merasakan perkara ini wajar demi kemaslahatan mereka yang terjejas.


Ada yang bertanya, "pelajar sudah tahu awal bahawa akan bersemuka, kenapa tidak mencari rumah sewa lebih awal?" Jawapannya, ramai pelajar tidak menyangka bahawa permohonan kolej mereka akan ditolak seperti pelajar B40 dan final year yang tidak boleh menyewa kerana tempoh kontrak minimum rumah sewa adalah selama setahun. Rumah sewa juga bukannya murah, dan tidak semua pelajar akan mendapatnya oleh kerana bilangannya yang terhad. Keputusan rayuan pun diumumkan setelah kuliah bermula. Di mana pelajar nak duduk sambil tunggu keputusan?

 

Ada juga pihak yang mendakwa bahawa pelajar tidak berusaha menyelesaikan isu ini sendiri. Persoalannya, nak suruh pelajar buat apa lagi? Nak suruh pelajar pacak khemah di hadapan kampus? Nak suruh pelajar tidur di tepi jalan? Adalah menjadi tanggungjawab pihak universiti untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa dan mencukupi untuk pelajar. Lagipun, bukannya pelajar duduk secara percuma. Yuran kolej dibayar juga. Nak kata yuran murah sebab itu pelajar layak dilayan sebegini? Yuran murah tak menghalalkan tindakan pihak universiti yang menindas pelajar. Subsidi yuran pun ditanggung oleh pihak kerajaan yang datangnya dari duit rakyat juga, bukannya duit pihak pengurusan.

 

Oleh itu, kami menyeru semua mahasiswa/i terutamanya yang menjadi mangsa penindasan pihak pengurusan UiTM untuk menandatangani petisyen ini sebagai desakan untuk mereka bertindak dalam kadar segera iaitu mengkaji semula kemasukan 100% pelajar ke kampus.

 

Pihak universiti perlulah cakna akan isu yang sedang berlaku dan kesihatan mental pelajar agar tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti penarikan diri pelajar, pelajr menangguhkan pengajian dan yang lebih parah lagi, pelajar membunuh diri.

 

#SuaraMahasiswaSuaraKeramat

#SuaraSiswaUiTM

Support now
Signatures: 6,510Next Goal: 7,500
Support now

Decision-Makers

  • Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)