Keadilan buat Pelajar India - Isu Pengambilan Kolej Matrikulasi

0 have signed. Let’s get to 50,000!


Baru-baru ini telah menular keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) beberapa pelajar bangsa India yang telah mendapat keputusan cemerlang (10 A) tetapi tidak dapat diterima masuk ke program Matrikulasi bagi sesi 2019/2020.

Kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menambah bilangan tempat untuk pelajar India kepada 2200 pada April 2018 berbanding 1500 tahun sebelumnya (ditambah 700 tempat). Perkara ini dilakukan oleh pentadbiran terdahulu dalam memastikan kaum India tercicir dalam pembangunan akademik negara.

Sehingga hari ini, seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi bahawa tiada tindakan yang dilakukan ataupun diambil oleh keempat- empat Menteri yang berbangsa India di kabinet terhadap isu kemasukan kolej matrikulasi ini. Jikalau melihat semula mukasurat 167 Buku Harapan PRU 14, ia telah menyatakan bahawa sebagai rakyat yang mempunyai hak yang sama dengan semua warganegara lain, sudah tiba masanya untuk semua bentuk diskriminasi yang menzalimi warga India dihapuskan. Tuntutan dan kehendak kaum India wajib didengari. Pakatan Harapan menawarkan keadilan, keharmonian dan kesaksamaan untuk semua, termasuklah untuk warga India. Pakatan Harapan juga menyedari bahawa masyarakat India perlu dibantu dengan lebih teliti untuk memastikan jurang yang wujud boleh disamaratakan. Janji tetap janji.

Stastistik 2013-2017 juga menunjukkan bahawa pendaftaran pelajar India ke kolej matrikulasi meningkat (berkadar terus) yang menunjukkan penyertaan & minat pelajar India bertambah bagi setiap tahun. Kita juga perlu mengambil perkara ini serius kerana pelajar bukan bumiputera (Cina & India) tidak mempunyai peluang yang banyak untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam, dimana kos asasi yang dibenarkan untuk pelajar bukan bumiputera sangat terhad. Adakah pelajar India yang cemerlang tidak layak untuk mengikuti pengajian di matrikulasi & asasi?

Berikut merupakan antara perkara yang diminta supaya Kementerian Pendidikan Malaysia & Kerajaan Pakatan Harapan teliti:

1. Menjelaskan status terkini mengenai kuota 2200 tempat bagi pelajar India. Adakah ia masih ditawarkan 2200 tempat?Jumlah pelajar India yang telah memohon masuk ke program matrikulasi bagi sesi 2019/2020.
2. Meneliti semula jumlah kuota bagi pelajar India sedia ada. Diminta agar kerajaan dapat menaikkkan kuota pelajar India dari 2200 kepada 3000 tempat selaras dengan hasrat kerajaan PH seperti di dalam Buku Harapan yang ini membantu masyarakat India.
3. Melalui stastistik 2013-2017, kita dapat lihat bahawa tidak semua pelajar India yang ditawarkan program matrikulasi mendaftarkan diri, dimana sememangnya akan terdapat kekosongan tempat bagi kuota yang sedia ada. Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku kerajaan boleh mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan jumlah tawaran bagi pengambilan kedua mahupun membuat pembaharuan dengan memberi tawaran khas pengambilan ketiga.
4. Kementerian Pendidikan diminta agar membuat penelitian semula berkaitan sistem matrikulasi dan upu agar tidak berlaku “redundancy” supaya ramai lagi pelajar berpeluang menikmati pendidikan di institusi pendidikan awam.
5. Meneliti semula pengajian asasi yang ditawarkan serta membuka lebih banyak pengajian asasi kepada pelajar cemerlang bukan bumiputera. Misalnya, pengajian Asasi Sains Hayat di UM boleh diberi peluang kepada pelajar bukan bumiputera (mungkin 10%). Kerana ini jelas bahawa pengajian UIA, USIM & UITM tidak layak 100% bagi pelajar bukan bumiputera dan kita hormat kepada Kontrak Sosial serta perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini juga dapat mewujudkan persaingan sihat disamping memantapkan integrasi nasional dan perpaduan kaum. Kami berharap agar kerajaan dapat memegang kepada kenyataan : “Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berpegang kepada pendirian untuk membantu semua pelajar yang cemerlang dan layak dari segi akademik dan mempunyai keperluan untuk dibantu dari segi tahap sosio ekonomi mereka,”- Dr Maszlee Malik, 28 Jun 2018.

Akhir sekali, harap kita dapat terus mengekalkan keharmonian negara ini dengan menghormati Kontrak Sosial serta Perlembagaan Persekutuan. Harap Kerajaan PH dapat memberi jawapan serta meneliti kesemua cadangan yang disenarikan di atas.

17 April 2019

Shatesh Kumar Sangar
Seshagri Somasegaran
Sharvin Rao Tharma Raja
Sharmin kutty a/l sivaraman


Want to share this petition?