Tuntutan Pengurangan Yuran Pengajian Mahasiswa Universiti Malaya

0 have signed. Let’s get to 35,000!


Bermula pada bulan April yang lalu, pihak KMUM telah mengeluarkan Proposal Dasar Kampus mengenai Covid-19 dan telah menghantarnya ke pihak Pengurusan UM pada 6 April 2020. Antara salah satu isu yang telah pihak KMUM bangkitkan dalam proposal tersebut adalah mengenai cadangan pengurangan yuran pengajian sebanyak RM130.00.

Walau bagaimanapun, Timbalan Naib Canselor Akademik (“TNC AA”) telah menyatakan perkara ini telahpun dibangkitkan kepada pihak pengurusan akan tetapi setakat hari ini masih tiada lagi respon yang diberikan. Proposal yang telah dicadangkan oleh Pihak KMUM akan dipanjangkan secara hitam putih ke Jawatankuasa Yuran Universiti (JYU) dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).

KMUM berpendapat bahawa jawapan tersebut masih tidak cukup untuk membantu keresahan rakan-rakan mahasiswa berkenaan isu yuran pengajian. Kebimbangan bahawa isu ini tidak dapat diselesaikan timbul kerana masa yang tinggal adalah sangat pendek sebelum semester ini berakhir.

Pihak KMUM ingin menegaskan bahawa isu pengurangan yuran pengajian ini adalah isu yang amat penting bagi mahasiswa UM. Hanya 3 minggu dalam semester ini sahaja dijalankan secara bersemuka manakala 11 minggu yang lain dijalankan secara atas talian atau ‘e-learning’. Hal ini bermakna mahasiswa UM sama sekali tidak dapat menggunakan fasiliti universiti secara maksimum. Maka, mengenakan yuran pengajian secara penuh tanpa sebarang pengurangan adalah tidak munasabah.

Oleh yang demikian, KMUM ingin memohon kepada semua rakan-rakan mahasiswa untuk sama-sama memberikan sokongan terhadap petisyen pengurangan yuran pengajian ini bagi membolehkan mesej yang jelas diberikan kepada pihak Pengurusan UM terhadap usul yang cukup penting ini. Petisyen ini juga penting bagi memberi isyarat yang jelas kepada semua pemutus keputusan berkaitan pengurangan yuran pengajian ini.