PETISYEN UNTUK MEMBENTANGKAN KEPUTUSAN (RCI) MENGENAI ISU PTI DI SABAH

PETISYEN UNTUK MEMBENTANGKAN KEPUTUSAN (RCI) MENGENAI ISU PTI DI SABAH

Started
13 July 2022
Signatures: 594Next Goal: 1,000
Support now

Why this petition matters

Kepada Perdana Menteri Malaysia, Barisan Kabinet Persekutuan Malaysia 

dan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia.

 

BAHAWASANYA petisyen ini dibuat oleh Ikatan Komuniti Penampang (IKATAN Penampang), satu pergerakkan komuniti non-profit yang berpusat di Kepayan, Penampang untuk manfaat rakyat Sabah dan Malaysia keseluruhannya.


Kami ingin menarik perhatian YAB Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri, Barisan Kabinet Persekutuan dan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Negeri Sabah yang telah diumumkan oleh Kerajaan Malaysia pada 1 Jun 2012 oleh Perdana Menteri pada ketika itu, YAB Datuk Seri Najib Razak  dimana pendengaran pertama diadakan pada 14 Januari 2013 dan pendengaran terakhir pada 27 Februari 2013.

 

Kami mendapati bahawa terma rujukan kepada siasatan ini adalah berdasarkan kepada perkara-perkara berikut :

 

1. Untuk menyiasat bilangan warga asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan baru atau kewarganegaraan Malaysia;

 

2. Untuk menyiasat sekiranya pemberian kad pengenalan atau kewarganegaraan Malaysia adalah tertakhluk mengikut peruntukkan undang-undang;

 

3. Untuk menyiasat sekiranya mereka yang diberikan kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara atau kewarganegaraan melalui cara yang menyalahi undang-undang telah didaftar sebagai pengundi di Sabah;

 

4. Untuk menyiasat jika pihak berkuasa telah mengambil tindakan atau membuat penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP), kaedah dan peraturan-peraturan untuk mencegah sebarang penyelewengan berdasarkan undang-undang;

 

5. Untuk menjalankan siasatan yang lebih mendalam terhadap SOP, kaedah dan peraturan-peraturan mengenai penganugerahan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah dengan mengambil kira pertimbangan norma-norma dan piawaian antarabangsa yang terpakai di Malaysia, dan mencadangkan pindaan atau perubahan untuk memperbaiki amalan semasa;

 

6. Untuk menyiasat sebab utama disebalik pertumbuhan penduduk Sabah yang mendadak mengikut kategori berikut : 

 

i) rakyat Sabah yang tinggal di negeri ini, termasuk individu yang diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan melalui sijil kelahiran (pendaftaran lewat)

ii) Pekerja asing (termasuk ahli keluarga)

iii) Pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga)

iv) Orang berhijrah dan untuk mengkaji kesannya terhadap bilangan mereka yang berdaftar dalam daftar pemilih;

 

7. Untuk menyiasat implikasi sosial kepada masyarakat Sabah berikutan penganugerahan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada orang asing di negeri ini; dan

 

8. Untuk menyiasat bilangan rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah yang diberikan kerakyatan atau kad pengenalan biru.

 

Berikutan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihanraya Umum (PRU13) pada Mei 2013, siasatan diraja ini tidak lagi hangat diperkatakan di arus perdana dan mula hilang dari ingatan rakyat Sabah. Malah, perkara ini juga tidak dibicarakan secara meluas di Sabah ketika Pilihanraya Umum (PRU14) pada Mei 2018.

 

Walaubagaimanapun, isu mengenai RCI ini menjadi hangat semula tahun ini ketika persidangan perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke 36 dan 37 pada 30 Jun 2022 apabila Presiden parti tersebut, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (Kota Marudu - PBS) telah mendakwa bahawa ada parti komponen BN Sabah yang telah memberikan Kad Pengenalan kepada PATI di Sabah untuk membolehkan golongan ini mengundi parti tersebut pada pilihanraya umum dan negeri :  

 

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/30/ada-parti-dalam-bn-beri-kad-pengenalan-kepada-pati-untuk-dapat-undi-dakwa-ongkili/

  

https://www.theborneopost.com/2022/06/30/bn-party-turns-to-illegals-for-support-pbs/

 

Ini telah mengundang reaksi dari Datuk Darell Leiking (Penampang - Warisan) yang telah mencabar Datuk Seri Maximus untuk menyatakan dengan jelas parti komponen BN yang dimaksudkan oleh Presiden PBS itu : 

 

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/06/30/expose-bn-party-in-ic-for-votes-scandal-leiking-tells-ongkili/

 

Cabaran Timbalan Presiden Parti Warisan tersebut pula mengundang reaksi dari Datuk Seri Najib Razak (Pekan - BN) dan beliau telah mengakui bahawa parti komponen BN yang terlibat dalam Projek IC di Sabah pada tahun 1990an ialah UMNO yang pada masa itu dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed (Langkawi - Pejuang) sebagai Presiden parti dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson - PH) sebagai Timbalan Presiden.

 

https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/07/02/najib-slams-leiking-for-asking-what-party-was-involved-in-ic-issue

 

Sementara itu Lim Kit Siang (Iskandar Puteri - PH) pula telah mengatakan bahawa sebanyak 5,000 helaian mengenai RCI ini tidak dibebaskan oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja RCI ini, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan beliau (Kit Siang) mengatakan bahawa helaian-helaian ini adalah bukti-bukti penting yang telah diserahkan ketika prosiding RCI ini :   

 

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/07/04/come-clean-on-ics-for-migrants-rci-kit-siang-tells-pairin/

 

https://www.theedgemarkets.com/article/kit-siang-tells-pairin-come-clean-rci-illegal-immigrants-sabah

 

Melihat kemarahan dan rasa tidak-puas hati dikalangan rakyat Sabah terhadap tuduh-menuduh antara ahli-ahli Parlimen dan politik Malaysia mengenai RCI ini serta isu PATI di Negeri Sabah yang seakan-akan tidak ada penghujungannya ini, maka kami berpendapat bahawa untuk membolehkan kita bergerak kehadapan, kita harus membentangkan di Dewan Rakyat laporan RCI yang disiapkan pada 2014, saranan-saranannya serta 5,000 helaian yang dikatakan tidak dimasukkan dalam laporan tersebut.

 

Pembentangan dan perdebatan ini adalah perlu atas 3 asas utama :-

 

1). sekiranya dakwaan Ahli Parlimen Kota Marudu bahawa PATI diberikan Kad Pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi pada pilihanraya umum dan negeri adalah benar, maka daftar pemilih SPR Sabah haruslah dibersihkan sebelum Pilihanraya Umum Ke 15 ini dan PRU tidak sepatutnya diadakan sebelum pembersihan ini dilaksanakan;  

 

2). sekiranya dakwaan Ahli Parlimen Pekan bahawa Umno telah memberikan Kad Pengenalan melalui ‘Projek IC’ pada 1990an (yang mana parti tersebut adalah dibawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammed dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu) adalah benar, maka Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson harus memberi penjelasan sepenuhnya mengenai perkara ini kepada Ahli-Ahli Parlimen yang mempunyai tanggungjawab dan amanat daripada rakyat untuk bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan; 

 

3). jika benar dakwaan Ahli Parlimen Pekan bahawa Umno yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson pada ketika itu terlibat dalam pemberian Kad Pengenalan melalui ‘Projek IC’ pada 1990an, maka siapakah pula individu-individu dari Negeri Sabah yang bertindak sebagai ‘operator-operator’ dan penggerak utama dalam hal ini; dan 

 

4). sekiranya dakwaan bahawa Projek IC di Negeri Sabah yang telah menyebabkan pertambahan mendadak PATI dan warga asing di Negeri ini sehingga dikatakan mencapai antara 800,000 hingga 1,000,000 orang, maka cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam RCI tersebut haruslah diperdebatkan agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat menyediakan satu pelan yang inklusif dan telus kerana kehadiran warga asing dan PATI yang begitu besar sudah pastinya sedikit sebanyak akan menyebabkan gangguan keatas bekalan makanan bersubsidi seperti minyak paket, telur, ayam dan tepung yang amat diperlukan oleh rakyat Sabah tulin pada masa kegawatan ekonomi dan inflasi yang teruk sekarang terutama sekali mereka yang berada di 8 daerah termiskin di negeri ini.

 

Satu perkara yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat Sabah ialah beberapa Ahli Parlimen seperti Lim Kit Siang (Iskandar Puteri - DAP), Datuk Darell Leiking (Penampang - Warisan) dan Mahfuz Omar (Pokok Sena - Amanah) pada November 2014 telahpun menggesa agar Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada ketika itu untuk membentangkan laporan RCI di Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

 

https://www.malaymail.com/news/malaysia/2014/11/16/release-sabah-rci-report-now-not-next-month-pakatan-mps-tell-pm/783927

 

Dan pada April 2015, blok Pembangkang Dewan Undangan Negeri Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (Keningau - GRS) dan beberapa ahli politik Sabah yang lain telah menggesa Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak untuk membentangkan laporan RCI tersebut di Dewan Rakyat : 

 

https://www.malaymail.com/news/malaysia/2015/04/15/sabah-opposition-panel-revives-call-to-debate-rci-in-parliament-state-assem/878833

 

Oleh yang demikian, kami tidak melihat sebarang sebab mengapa Laporan RCI keatas Kehadiran PATI di Negeri Sabah ini tidak boleh dibentang dan diperdebatkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat lebih-lebih lagi pada masa kegawatan ekonomi dan inflasi pada hari ini. Maka sebagai Pengerusi IKATAN Penampang, saya amat mengharapkan sokongan dari rakyat Malaysia khususnya mereka dari Sabah dan menandatangani petisyen ini agar pembentangan dan perdebatan mengenai penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) keatas PATI di Negeri Sabah dapat dilaksanakan secepat mungkin.

 

Terima Kasih

 

Kenneth Jayaraman

Pengerusi

Ikatan Komuniti Penampang 

(IKATAN Penampang)

14 Julai 2022  

Support now
Signatures: 594Next Goal: 1,000
Support now