Pengurusan Sukarelawan KL2017 Lemah - Tuntutan Penjelasan Rasmi & Kenyataan Maaf MASOC

0 have signed. Let’s get to 1,000!


YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin, Menteri Belia & Sukan merangkap Pengerusi MASOC

YBhg. Dato' Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

Dengan hormatnya petisyen ini dimajukan untuk perhatian dan tindakan pihak YB Menteri dan YBhg. Dato' sewajarnya. 

PENGANJURAN temasya Sukan SEA Kali ke-29 atau dikenali dengan nama KL2017 berakhir dengan kejayaan Malaysia sebagai juara keseluruhan. Penganjuran temasya pada kali ini ternyata tidak akan berjaya tanpa penglibatan dan sokongan oleh para pegawai, negara kontinjen, atlet, rakan-rakan penaja dan media, para penyokong dan peminat sukan, dan juga para sukarelawan yang bertugas siang dan malam dengan hanya bermatlamat menjayakan temasya sukan ini seiring dengan semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-60. 

Namun begitu, penglibatan sukarelawan di dalam temasya pada kali ini dilihat seperti terdapat beberapa permasalahan yang berlaku dari awal sehingga selepas temasya berakhir. Pihak penganjur yang dikenali sebagai Malaysia Organising Committee (MASOC) dilihat bersikap seperti acuh tidak acuh dan sambil lewa keatas sukarelawan. Beberapa permasalahan yang timbul antaranya :

a) pengambilan & pengurusan sukarelawan yang tidak sistematik

Proses pengambilan sukarelawan merangkumi pendaftaran secara atas talian, kursus latihan umum, kursus latihan khusus, dan tempoh bertugas. Di sepanjang proses ini, sukarelawan-sukarelawan sedia ada dapat melihat proses yang kurang sistematik di mana para sukarelawan terpaksa memuatnaik / memberi semula saiz baju, salinan buku atau penyata akaun bank berkali-kali. 

Proses pengambilan, latihan dan pemantapan sukarelawan juga dilihat kurang efisien. Para sukarelawan yang dipilih adalah dilantik secara rawak tanpa melalui saringan temuduga. Ini adalah penting bagi pemilihan sukarelawan-sukarelawan yang bakal menjadi wajah negara dalam kemampuan melayani para peminat sukan dari luar negara, orang-orang kenamaan dan juga kontinjen-kontinjen luar. Latihan umum dan khusus juga dilihat teramat singkat dan tidak terlalu berfokus kepada keperluan penugasan. 

Kecelaruan juga timbul apabila sukarelawan yang dipilih ditukarkan skop tugas semasa latihan khusus atas alasan 'urusan memudahkan pentadbiran semata-mata'. Terdapat juga kelompok sukarelawan di dalam bidang tertentu yang membuat tugas di luar skop tugas mereka seperti yang diterangkan dan tiada bimbingan lanjut dari pihak MASOC semasa temasya.

b) isu kekurangan saiz baju yang bertepatan

Bagi penganjuran temasya ini, sukarelawan dijamin dengan pemberian dua (2) helai baju sukarelawan berserta satu (1) helai seluar rasmi. Saiz baju & seluar telah diambil oleh pihak MASOC semasa awal pendaftaran sukarelawan bagi tujuan ini, namun masalah masih timbul sewaktu tuntutan baju dan seluar. 

Pihak MASOC mendakwa mendapat kuantiti saiz yang berbeza dari yang sepatutnya dan keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan para sukarelawan. 

c) kelewatan percetakan kad akreditasi 

Kad akreditasi bersama-sama baju, seluar dan topi sukarewan sudah boleh diambil seawal dua (2) hari sebelum tarikh mula tugas dan ini dinyatakan semasa latihan khusus oleh pegawai yang dipertanggungjawab. Namun begitu, kelewatan percetakan kad akreditasi dilihat berlaku apabila kelompok-kelompok sukarelawan yang terawal bertugas tidak dapat menuntut kad akreditasi pada waktu yang telah dimaklumkan. Arahan juga bertukar kepada satu (1) hari sebelum bertugas. Namun begitu, di sepanjang temasya berlangsung, masih terdapat ramai kelompok sukarelawan yang mengalami masalah kelewatan percetakan kad akreditasi walaupun sudah mula bertugas. 

Kelewatan ini menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas apabila akses kepada setiap venue dan kawasan petugas memerlukan kad akses bagi tujuan tapisan keselamatan. 

d) kelewatan panggilan bertugas dan pengesahan jadual bertugas

Para sukarelawan adalah terdiri dari pelbagai latar belakang yang merangkumi pelajar, penjawat awam, pekerja swasta, penduduk di luar Lembah Klang, warganegara asing dan lain-lain. 

Kemudahan permohonan Cuti Tanpa Rekod (CTR) atau pelepasan kuliah juga hanya bermanfaat kepada penjawat awam dan pelajar. Terdapat kelompok seperti pekerja swasta dan kelompok lain yang tidak mendapat kemudahan yang serupa.

Kelewatan panggilan bertugas dan jadual bertugas dikeluarkan ternyata memberi impak kepada penglibatan sukarelawan dari kelompok-kelompok tertentu yang tidak mendapat manfaat dari kemudahan yang disediakan untuk beberapa kelompok sukarelawan yang lain. Terdapat sukarelawan yang terpaksa membeli tiket penerbangan baharu, kelewatan membuat tempahan penginapan, lewat menyerahkan permohonan cuti dan lain-lain atas kelewatan di pihak MASOC.

e) aplikasi telefon pintar 'WAU FACTOR' yang tidak berfungsi seperti yang dirancang

Aplikasi telefon pintar yang dinamakan 'WAU FACTOR' telah dilancarkan oleh Menteri Belia & Sukan iaitu YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin semasa Himpunan Sukarelawan KL2017. Aplikasi ini yang boleh dimuat turun di telefon pintar dilancar bagi tujuan pengurusan sukarelawan dan kemudahan para sukarelawan semasa bertugas sepanjang temasya. 

Aplikasi ini yang telah dibangunkan bagi kemudahan sukarelawan membolehkan pengesahan kehadiran bertugas dibuat setiap hari melalui aplikasi tersebut. Aplikasi itu juga membolehkan sukarelawan memuatnaik penyata akaun bank bagi pengesahan akaun bank untuk tujuan pembayaran token makan dan minum.
Namun, aplikasi ini tidak berfungsi seperti yang dirancang sepanjang temasya berlangsung. Bagi tujuan pengesahan kehadiran, para sukarelawan perlu membuat pengesahan kehadiran secara manual dengan penyediaan senarai nama melalui inisiatif kumpulan sendiri, ditandatangani setiap hari dan perlu diserah kepada MASOC setiap hari secara email. 

f) arahan dan informasi yang sering berubah (arahan pra-tugasan, kemudahan PRASARANA dll.)

Bermula dari proses latihan sehingga semasa temasya, arahan dan informasi yang diterima sering berubah-ubah. 

Arahan berkaitan pengambilan pakaian dan kad akreditasi berubah tanpa penjelasan lanjut pihak MASOC dari dua (2) hari kepada satu (1) hari sebelum mula bertugas; skop tugasan yang bercanggah dari tugasan sebenar semasa temasya berlangsung; informasi berkenaan kemudahan fasiliti PRASARANA yang berubah dari semasa ke semasa dan menyulitkan sukarelawan; urusetia bilik gerakan sukarelawan yang memberi maklumat salah kepada sukarelawan dan bercanggah dari maklumat sebenar; arahan berkenaan penyerahan borang kehadiran harian yang berubah-ubah dari penggunaan aplikasi kepada secara manual dan perubahan dari penyerahan secara email kepada penyerahan dengan tangan kepada pihak MASOC; dan pelbagai lagi ketidakseragaman informasi yang berlaku.

g) kelemahan koordinasi & ketiadaan sumber rujukan informasi berpusat 

Rata-rata sukarelawan adalah merupakan kali pertama terlibat di dalam temasya sukan antarabangsa. Pelbagai isu berlaku terutama dalam kalangan sukarelawan yang berurusan dengan pihak kontinjen dan atlet seperti sukarelawan di dalam bidang liaison officer, penginapan, pengangkutan, perubatan dan lain-lain.

Koordinasi amat lemah di pihak MASOC dapat dilihat merangkumi isu penginapan, pengangkutan, venue latihan, keperluan atlet melibatkan pengurusan oleh pihak-pihak seperti Kementerian Belia & Sukan (KBS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak & agensi lain yang berkaitan bersama-sama pihak penyedia perkhidmatan seperti katering, bas, hotel dan lain-lain.

Masalah timbul setiap hari melibatkan masalah penginapan seperti spesifikasi penginapan yang tidak sesuai untuk atlet dan pegawai kontinjen, masalah pengangkutan yang tidak efisien dan tidak sistematik - pemandu bas yang tidak tahu laluan ke venue, bas tidak sampai tepat pada waktu dan tidak sampai seperti yang telah dipohon oleh urusetia. Pengurusan juga tidak efisien dan tidak efektif kerana semua bas adalah berpusat di Putrajaya. Sesetengah venue dan waktu latihan juga dilihat tidak sesuai dan tidak mencapai standard yang ditetapkan. Hal-hal ini ditegur oleh kontinjen luar kepada urusetia terdekat yang hanya terdiri dari kalangan sukarelawan. Terdapat keperluan atlet yang spesifik dan tertakluk kepada peraturan sukan juga tidak disediakan oleh pihak MASOC sebagai penganjur dan aduan yang disuarakan oleh sukarelawan yang menguruskan kontinjen & atlet juga seperti tidak diendahkan dan tiada tindakan pantas diambil oleh pihak MASOC. 

Masalah juga bertambah rumit apabila terdapat kesukaran untuk mendapatkan mana-mana pegawai MASOC berkaitan di beberapa lokasi dan kesukaran sukarelawan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dari sumber yang tepat.

h) isu kelewatan pembayaran token makan & minum 

Rata-rata sukarelawan memahami tanggungjawab masing-masing sebagai sukarelawan yang berkhidmat atas kapasiti relahati tanpa mengharapkan ganjaran. Namun, pihak penganjur iaitu MASOC menawarkan kemudahan pengangkutan awam percuma kendalian PRASARANA iaitu MRT, LRT, Monorel, BRT dan Bas RapidKL; kelengkapan pakaian sukarelawan dan juga makan dan minum setiap hari yang digantikan secara pembayaran token sebanyak RM50 sehari. 

Pembayaran token sebanyak RM50 sehari ini juga diumumkan melalui latihan khusus bahawa ia akan dibayar secara berperingkat ke akaun bank setiap sukarelawan pada setiap tiga (3) hari bertugas secara terkumpul. Namun begitu, pembayaran yang dibuat tidak seperti yang dimaklumkan. Rata-rata sukarelawan masih tidak mendapat sebarang bayaran token yang dinyatakan walaupun temasya sudah tamat. 

Perihal token makan dan minum ini turut dinyatakan secara jelas di dalam surat panggilan bertugas setiap sukarelawan dan juga di ruangan Soalan Lazim (FAQ) No.18 (a) di laman sesawang rasmi KL2017 di pautan https://www.kualalumpur2017.com.my/getinvolved-volunteerfaq.cshtml . Kelewatan pembayaran token ini mengakibatkan kesulitan di pihak sukarelawan yang ada di antara mereka mungkin terpaksa berhutang dengan orang lain demi survival sepanjang temasya berlangsung, terdapat sukarelawan yang mengikat perut kerana terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membeli makanan dan minuman harian sewaktu temasya, dan lain-lain lagi hal yang timbul akibat kelewatan pembayaran token oleh pihak MASOC yang di luar jangkaan. 

Sekiranya token tidak dijanjikan seperti yang telah dimaklumkan di peringkat awal, setiap sukarelawan pastinya dapat memikirkan alternatif lain lebih awal bagi menampung keperluan makan dan minum mereka serta pengurusan perbelanjaan masing-masing sepanjang temasya berlangsung. Kelewatan ini sedikit sebanyak menimbulkan masalah ke atas para sukarelawan dari segi perancangan perbelanjaan mereka. 

Terdapat pelbagai lagi isu yang mungkin berbangkit, namun senarai permasalahan di atas cukup untuk memaparkan pengurusan sukarelawan yang lemah dari pihak penganjur iaitu MASOC yang diterajui oleh KBS. 

Justeru, kami, penandatangan petisyen ini yang terdiri daripada sukarelawan temasya Sukan SEA Ke-29, menuntut kepada pihak MASOC :

  1. MEMBERIKAN JAWAPAN BERKENAAN SETIAP PERMASALAHAN YANG TIMBUL MELALUI SUATU KENYATAAN RASMI YANG DIKELUARKAN OLEH MASOC/KBS;
  2. MEMPERAKUI KELEMAHAN PENGURUSAN DARI PIHAK MASOC DALAM MENGURUSKAN SUKARELAWAN DI DALAM SEBUAH TEMASYA BERTARAF ANTARABANGSA DAN MENYATAKAN PERMOHONAN MAAF SECARA RASMI KEPADA PARA SUKARELAWAN YANG TERLIBAT DAN PIHAK-PIHAK LAIN YANG TERKESAN MELALUI SUATU KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH MASOC/KBS;
  3. MENYELESAIKAN DAN MEMPROSES SEGERA SEBARANG ISU YANG MASIH TIMBUL SEPERTI ISU PEMBAYARAN TOKEN, SIJIL DAN LAIN-LAIN (JIKA ADA)


Today: Sukarelawan is counting on you

Sukarelawan Waufactor needs your help with “Pengurusan Sukarelawan KL2017 Lemah - Tuntutan Penjelasan Rasmi & Kenyataan Maaf MASOC”. Join Sukarelawan and 555 supporters today.