Desakan Untuk Membenarkan TASKA beroperasi semula semasa PKPB

0 have signed. Let’s get to 15,000!


1. Kami mewakili ibu bapa, pendidik-pendidik dan juga pengusaha TASKA mahu Majlis Keselamatan Negara memberi kebenaran bagi TASKA di Malaysia untuk mulakan operasi dengan kadar segera.


2. Dalam tempoh PKPB Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, para ibu bapa perlu bekerja dari rumah atau selang seli masuk ke pejabat. Yang lebih menyukarkan apabila terdapat ibubapa yang tidak mendapat kebenaran WFH dan perlu masuk ke pejabat setiap hari. Segelintir ibubapa terpaksa juga mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh PKPB ini apabila TASKA di tutup. Bagi ibu bapa yang WFH pula, mereka tidak dapat fokus bekerja sambil menjaga anak di rumah. Anak yang dibawa ke tempat kerja juga lebih berisiko dan sukar ibu bapa untuk melaksanakan tugasan dengan baik.


3. Ibubapa perlu membayar sebahagian yuran TASKA dan terpaksa juga membayar yuran tambahan kepada pengasuh harian bagi menjaga anak anak semasa bekerja. Pengasuh harian juga kebanyakannya tiada sijil kelayakan pengasuh (KAP).


4. Setiap ibu bapa mahukan anak anak mendapatkan penjagaan yang baik dan tidak mahu mereka ketinggalan. Pendidik TASKA lebih terlatih untuk menjaga anak-anak.


5. Diharap TASKA diberi kebenaran untuk beroperasi seperti sebelum ini; iaitu apabila dibenarkan beroperasi semasa PKPB pada 4hb Mei yang lalu.


6. Bagi guru-guru TASKA pula, mereka bakal berdepan dengan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Hanya sebahagian sahaja pengusaha TASKA yang masih cuba bertahan, namun ramai juga diantara pekerja yang terpaksa diberhentikan atau diarah cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP ini.


7. Ada diantara pekerja yang perlu menanggung ahli keluarga yang juga terjejas sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 ini. Sekiranya pendidik di TASKA juga kehilangan pekerjaan, pendapatan isi rumah yang sebahagian besarnya merupakan golongan B40 terjejas teruk.


8. TASKA akan menjaga dan memastikan kesihatan mental anak-anak kecil berada dalam keadaan baik. Ramai ibu bapa yang menghadapi masalah untuk menjaga dan mengawal anak di rumah sementara mereka perlu bekerja dari rumah (WFH). Besar kemungkinan anak akan dimarah, tidak dihiraukan atau lebih teruk lagi dipukul.

9. Bagi anak yang dihantar ke rumah pengasuh baharu, emosi anak-anak akan terganggu. Ada anak yang menangis mahu pergi ke TASKA semula; berjumpa cikgu yang telah mereka kenali. Anak-anak kecil amat sensitif dan mudah trauma sekiranya keadaan ini berlarutan. Pendidik di TASKA lebih terlatih dalam mengendalikan emosi anak-anak kerana kelayakan minimum untuk bekerja di TASKA adalah pendidik perlu lulus kursus KAP.

10. Pengusaha TASKA amat memahami SOP yang ketat yang perlu dilaksanakan di TASKA dan kami sanggup menurutinya demi tenggungjawab menjaga anak-anak dan juga kelangsungan hidup pendidik-pendidik.

11. Sebagai pengusaha apabila kami tidak beroperasi, perniagaan kami akan ditutup kerana sudah tidak mampu menanggung kos pengoperasian dan pekerja akan hilang sumber pendapatan.

12. Banyak TASKA yang terpaksa ‘gulung tikar’ sejak Mei sehingga hari ini. Ada yang mengalami gangguan depresi akibat hal ini. Mereka tiada sumber pendapatan dan terpaksa menanggung kerugian serta bebanan hutang. 

13. TASKA adalah institusi yang sangat penting. Jika banyak TASKA ditutup kerana sudah tidak boleh menampung kos pengoperasian, ibu bapa tiada tempat yang selamat untuk menghantar anak sewaktu mereka keluar bekerja.

14. Oleh itu, kami memohon pertimbangan dari Majlis Keselamatan Negara untuk berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan menyedari bahawa perkhidmatan TASKA juga merupakan satu keperluan utama di waktu krisis global ini. Produktiviti yang berkualiti datang dari minda yang tenang. Ibu bapa akan merasa lebih tenang dan gembira bekerja apabila anak mereka ditempatkan di TASKA yang selamat.

———————————————————

Petition ini dibuat oleh wakil pengusaha-pengusaha di My Taska Tadika (MTT). MTT adalah facebook group yang menghubungkan pengusaha TASKA & TADIKA seluruh Malaysia dimana kami menjadikan facebook group MTT sebagai satu medium untuk berkongsi pendapat, masalah dan ilmu-ilmu pendidikan awal kanak-kanak. Setakat ini, ada 813 pengusaha taska dan tadika yang menyertai facebook group tersebut. 

Petition ini dibuat setelah mendengar keluhan ibu bapa, pendidik TASKA, pengusaha TASKA berikutan penutupan TASKA semasa PKPB dilaksanakan di kawasan Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya.