KEMBALIKAN DASAR ASAL SMK SERI PEKAN

KEMBALIKAN DASAR ASAL SMK SERI PEKAN
Bermula tahun 2021, SMK Seri Pekan telah menerima murid yang ditawarkan tanpa asrama. Terdapat pelbagai permasalahan yang timbul seperti komplikasi di dalam pengurusan sekolah kerana majoriti murid tinggal di asrama. Tidak seperti SMK Sultan Ahmad yang mana hanya minoriti murid yang tinggal di asrama. Sejak penubuhan SMK Seri Pekan pada tahun 1997 tidak pernah dalam sejarah sekolah ini menerima pelajar berulang.
Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah jumlah enrolmen yang ditetapkan adalah mengikut jumlah kelas yang dibuka. Maka dengan itu, asrama tidak dapat menampung jumlah pelajar untuk diletakkan dia asrama. Oleh yang demikian, penawaran untuk murid berulang telah dibuat untuk mencukupkan enrolmen pelajar. Akibat daripada ini, terdapat murid yang masuk atas penawaran asrama telah merayu untuk berulang dari rumah juga. Keadaan ini juga menyebabkan tempat yang sepatutnya ditawarkan kepada murid yang tinggal jauh dinafikan kerana mereka hanya mahu berulang tetapi masih kekal bersekolah di sini.
Selain itu, semua sedia maklum bahawa murid SISP adalah 100% yang tinggal di asrama juga akan terjejas. Ekoran dari murid menengah yang berulang emosi murid sekolah rendah yang terdiri daripada murid Tahun 4,5 dan 6 juga terjejas dan memohon untuk berulang malah lebih menjejaskan keadaan mereka akan minta untuk tukar sekolah yang mana akan menjejaskan enrolmen sekolah. Tidak dinafikan bahawa jumlah enrolmen kemasukan murid ke SMK Seri Pekan merupakan isu utama. Walaubagaimanapun, pihak sekolah telah merancang strategi yang jelas untuk menangani masalah tersebut dan meningkatkan enrolmen murid. Strategi ini juga akan mempromosikan asrama SMK Seri Pekan sebagai pusat kecemerlangan dan kemenjadian murid.
Masalah ketidakcukupan kemudahan penginapan adalah diketahui umum. Namun tidak banyak data dibincangkan secara rasmi oleh pelbagai pihak bagi memperlihatkan jurang permasalahan dan keperluan sekolah dan asrama yang wujud. Perkara ini menimbulkan pertanyaan sebesar manakah masalah enrolmen murid yang berlaku hingga mengakibatkan dasar sekolah yang asal untuk semua murid tinggal di asrama telah diubah. Pertanyaan ini dapat dijawab sekiranya jumlah enrolmen pelajar pada sesuatu sesi termasuk pengambilan baru dapat diketahui dan dibandingkan dengan keupayaan sebenar asrama menawarkan kemudahan penginapan. Bagi meneliti perkara ini, keupayaan sebenar asrama menempatkan pelajar akan dianalisis dan cadangan akan dikemukakan sebagai penyelesaian jangka panjang.
Objektif penulisan artikel ini penting dijalankan di atas pelbagai sebab terutamanya bagi memelihara kebajikan pelajar SMK Seri Pekan. Ia juga penting kerana SMK Seri Pekan adalah sebuah sekolah yang dari asalnya memang seiring dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan merupakan satu-satunya sekolah yang muridnya dari Tahun 4 sehingga Tingkatan 5 tinggal di asrama yang menjadikannya sebuah sekolah yang sangat istimewa. Terdapat banyak kriteria and bukti kejayaan sekolah sebelum ini dan antara indikator penting adalah kriteria kecemerlangan akademik, kemenjadian murid, dan kemudahan pembelajaran. Pencapaian sekolah boleh makin terjejas sekiranya isu ini tidak diberi perhatian serius.