Bantahan penutupan Pejabat Kadhi Daerah Chenor, Pahang.

Bantahan penutupan Pejabat Kadhi Daerah Chenor, Pahang.

0 have signed. Let’s get to 1,500!
At 1,500 signatures, this petition is more likely to get picked up by local news!
Saiful Bahri started this petition to KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah and

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pacal-pacal penduduk Chenor harap diampun. Adapun inilah petisyen patik sekalian penduduk di dalam daerah kadhi Chenor memohon akan kebijaksanaan dan keprihatinan Tuanku supaya mencelah dan melarang daripada tindakan penjawat-penjawat awam negeri Pahang untuk menutup Pejabat Kadhi Daerah Chenor daripada terus dilaksanakan.

Sesungguhnya, Daerah Kadhi Chenor merupakan satu daerah Kadhi yg sudah hampir 70 tahun lamanya diwujudkan dalam negeri Pahang, lebih lama daripada kewujudan daerah Maran itu sendiri. Daerah Kadhi Chenor merupakan salah satu tunjang dan nadi  yg melicinkan pentadbiran agama Islam di negeri Pahang, dan telah berjasa besar kepada kehidupan serata penduduk Chenor semenjak zaman pemerintahan Almarhum DYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah lagi. Sehingga tahun 2021, Pejabat Kadhi Daerah Chenor bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat Islam dalam kawasan seluas 512 km persegi atau 51,200 ribu hektar - merangkumi 4 mukim (Chenor Bandar, Chenor Seberang, Kertau dan Bukit Segumpal), 23 JKKK, mempunyai penduduk seramai 15 hingga 20 ribu orang (berdasarkan data bancian kerajaan  Malaysia pada tahun 2010), yg mana Pejabat Kadhi Daerah Chenor bertanggungjawab menjaga urusan jemaah di 22 buah masjid.

Natijahnya, patik warga Chenor sekalian menganggap tindakan untuk menutup Pejabat Kadhi Daerah Chenor ini sebagai satu tamparan yg besar ke atas warga Chenor kerana tiada sebarang alasan munasabah diberikan atas tujuan ini. Bangunan fasiliti Pejabat Kadhi ini telah lama tersedia, masih kukuh berdiri walaupun sudah berusia 50 tahun, merupakan suatu simbol dan kebanggaan masyarakat Islam setempat sejak sekian lama. Sistem pentadbiran agama dan praktis perundangan syariah dalam daerah Kadhi Chenor tidak mengundang sebarang masalah dengan penduduk sekitar sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Lokasi  pejabat sangat sesuai di tengah-tengah mukim adalah suatu rahmat Allah SWT kerana memudahkan penduduk sekitar untuk datang ke pejabat Kadhi Chenor sekiranya ada urusan yg melibatkan agama dan perundangan Islam. Maka, jelaslah bagi patik penduduk-penduduk dalam daerah Kadhi Chenor, bahawa tindakan yg tidak berasas untuk menutup Pejabat Kadhi Daerah Chenor ini merupakan satu langkah yg tidak wajar, yg juga dilihat menghalang kemajuan dan kecekapan pentadbiran agama Islam di negeri Pahang, seterusnya akan lebih menyusahkan penduduk sekitar yg ingin berurusan berkaitan hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam di daerah Chenor ini.

Sesungguhnya patik sekalian warga penduduk di dalam Daerah Kadhi Chenor, bergantung harap yg sangat besar kepada dengan kebijaksanaan dan keprihatinan Tuanku dengan membaca petisyen ini, agar mencegah langkah penutupan Pejabat Kadhi Daerah Chenor daripada dilaksanakan kerana tindakan yg tidak mempunyai motif yg kukuh ini lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan penduduk sekitar. 

Patik sekalian menjunjung kebijaksanaan dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku untuk mendengar, mengambil berat dan seterusnya menyelesaikan permasalahan ini demi kelancaran pentadbiran agama Islam di negeri Pahang yg tercinta ini dan kesejahteraan warga Chenor seluruhnya. Patik warga Chenor sekaliannya mendoakan akan kesejahteraan dan semoga Allah SWT melimpahi rahmat-Nya ke atas Kebawah Duli Tuanku sekeluarga.

Daulat Tuanku. Raja dan rakyat berpisah tiada. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun.

0 have signed. Let’s get to 1,500!
At 1,500 signatures, this petition is more likely to get picked up by local news!