Opening Of Malaysia/Singapore Border (PEMAS)

0 have signed. Let’s get to 10,000!


Daulat Tuanku

Kami rakyat Malaysia yang menetap di Johor dan berkerja Di Singapura ingin merayu kepada Tuanku mengenai masalah besar yang sedang kami hadapi selepas penutupan sempadan Malaysia Singapura. 

Kami berharap Tuanku dapat meluangkan masa untuk mendengar kesusahan yang sedang kami alami. Sudah lama kami terpisah dari keluarga yang sangat kami sayangi. Sudah lama anak-anak tidak berjumpa dengan ibu dan ayah. Sudah lama kami tidak berjumpa dengan orang tua kami. Sudah lama kami tidak berjumpa dengan saudara-saudara kami.

Perpisahan ini adalah disebabkan penutupan sempadan. Ribuan diantara kami telah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Ribuan diantara kami masih mempunyai pekerjaan tetapi tidak dapat hantar wang ke Malaysia disebabkan kos kehidupan terlalu tinggi di Singapura. Berkali-kali kami telah meluahkan perasaan kepada kerajaan negeri dan juga persekutuan. Berkali-kali kami telah hampir melutut kepada semua ahli politik tetapi tidak ada seorang pun mendengar mahupun membantu kami. Kami dalam kekeliruan sama ada haruskah kami berhenti berkerja di Singapura dan berpulang ke tanah air. Tetapi kami takut untuk mengambil keputusan tersebut dengan melihat keadaan ratusan ribu orang di Malaysia tidak mempunyai kerja malah ramai diberhentikan kerja dengan alasan penyakit Covid-19.

Ampun Tuanku

Kami yang berada di Malaysia pula yang baru diberhentikan kerja oleh majikan Singapura tidak dapat pekerjaan disebabkan majikan di Malaysia takut untuk menerima kami dengan memberi alasan bahawa kami akan berlari balik ke Singapura jikalau sempadan dibuka seperti biasa. Berkali-kali kami telah meminta bantuan dari kerajaan negeri sekurang-kurangnya mendapatkan lesen perniagaan sementara tetapi sampai kini tiada sebarang jawapan diberi. Apakah nasib kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya rakyat negeri Johor.

Ampun Tuanku

Golongan lain yang telah mendapat status PR (Permanent Resident) di Singapura telah diabaikan oleh kerajaan Malaysia tanpa sebarang peraturan untuk pulang ke tanah air untuk berjumpa dengan keluarga kesayangan kami malah tidak ada juga sebarang aturan yang boleh membenarkan kami untuk keluar masuk seperti yang telah disediakan kepada peniaga dan juga pemunya pas pekerja biasa iaitu aturan yang dinamakan RGL dan PCA. Kami dipaksa untuk dikuarantin selama 14 hari di Malaysia hanya kerana ingin melihat pengembumian ayah/ibu kami pada saat terakhir. Kami dibawa untuk pengebumian tersebut hanya selama 4 jam dan dihantar balik ke Pusat Kuarantin untuk 14 hari dan apabila kamipulang ke Singapura kami terpaksa menjalankan kuarantin disana selama 7 hari.

Ampun Tuanku

Yang lagi menyakitkan hati ialah apabila kami diberhentikan kerja di Singapura disebabkan keinginan kami untuk pulang ke tanah air. Kami dipaksa secara tidak berperikemanusian untuk dibayar duit kuarantin sebanyak hampir RM2300.00 dan jika kami tidak membuat bayaran tersebut kami dilayan lebih teruk dari tahanan yang berada di penjara dan lebih menyedihkan adalah kami diberi saman kompaun sebanyak RM1000.00 disebabkan tidak mempuyai duit kuarantin.

Ampun Tuanku

Akhir sekali, dengan tidak mempunyai harapan terhadap kesemua pemimpin di negara ini. Kami merayu, melutut di hadapan Tuanku supaya kami mendapat satu penyelesaian melalui campur tangan Tuanku. Kami percaya hanya Tuanku yang dapat menyelesaikan masalah kami sebelum banyak lagi yang mengambil keputusan yang tidak diingini seperti membunuh diri yang telah pun berlaku.

Ribuan terima kasih.

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku 

Daripada Persatuan Pemas Negeri Johor (Pekerja Malaysia Singapura-PEMAS)

Dayalan Sreebalan

Suara Rakyat